13 nelayan ditahan reman susulan isu sindiket seleweng subsidi diesel
Astro Awani
Februari 6, 2014 18:40 MYT
Februari 6, 2014 18:40 MYT
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mendapatkan perintah reman selama dua hari dari Majistret Kota Bharu ke atas 13 nelayan bagi membantu siasatan berhubung sindiket penyelewengan diesel bersubsidi di Kuala Besut.
Perintah tahanan reman ke atas 13 lelaki berusia antara 25 hingga 55 tahun dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Norida Mohd Hussain.
Kes di siasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dimana jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman 10 kali ganda nilai suapan atau 20 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Semalam, SPRM menyerbu beberapa lokasi di perkampungan nelayan Kuala Besut termasuk Jeti Kompleks Pendaratan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Besut dalam Op Tekong untuk membanteras sindiket penyelewengan diesel subsidi yang turut menyumbang kepada kenaikan harga ikan di pasaran.
Dalam serbuan jam 9 pagi itu, seramai 15 nelayan, peraih dan pemborong ikan serta pemilik syarikat ditahan kerana dipercayai turut terlibat dalam memalsukan butiran resit pendaratan ikan.
Serbuan disertai 40 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Siasatan awal mendapati aktiviti pemalsuan butiran tersebut dipercayai didalangi empat sindiket utama bagi mendapatkan bekalan diesel subsidi yang diberikan oleh kerajaan kepada nelayan berdasarkan jumlah tangkapan ikan.
Nelayan terbabit dipercayai tidak turun ke laut untuk menangkap ikan tetapi memanipulasi sistem dengan memberikan resit mengandungi butiran pendaratan ikan palsu bagi mendapatkan diesel bersubsidi.
Difahamkan di perkampungan nelayan itu sahaja, kumpulan terbabit menyeleweng lebih 900,000 liter diesel bernilai RM1.2 juta.