13 motosikal, 1 kereta di ruang parkir terbakar
Dewi Nur Harasha Alias
Mac 6, 2021 14:26 MYT
Mac 6, 2021 14:26 MYT
GEORGE TOWN: Sebanyak 13 buah motosikal yang diletakkan di ruang parkir motosikal di flat Pinang Emas, Batu Ferringhi, di sini musnah dalam kebakaran awal pagi Sabtu.
Pasukan Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal, Pulau Pinang bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 3.26 pagi.
Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, sebaik tiba pihaknya mendapati api sudah dipadamkan penduduk setempat.
Namun anggota melakukan kerja-kerja overhaul bagi memastikan api benar-benar padam.
"Kebakaran tersebut telah memusnahkan keseluruhan tujuh buah motosikal manakala enam buah lagi hanya terbakar pada sebahagian kecil kenderaan.
"Selain motosikal, sebuah kereta jenis Perodua Myvi turut terbakar akibat terkena bahang api berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
13 motosikal, 1 kereta di ruang parkir terbakar
Operasi memadam kebakaran tamat sepenuhnya pada pukul 4.45pagi.
Kebakaran tidak membabitkan mangsa dan buat masa ini punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi memaklumkan , pihak polis dan bomba masih menjalankan siasatan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu bagi mengetahui punca sebenar kebakaran.
Soffian berkata, siasatan awal pihak polis mendapati tujuh motosikal yang musnah adalah jenis Honda iaitu empat buah Honda EX5, masing-masing sebuah Honda C100 dan Honda Dash serta sebuah Yamaha LC 135.
Manakala enam buah motosikal lagi yang mengalami kerosakan adalah jenis Suzuki Nex, Yamaha Ego, tiga buah Honda EX5 dan Yamaha RXZ serta sebuah Perodua Myvi.
Semua pemilik kenderaan diminta membuat laporan polis berhubung kerosakan dan kerugian akibat kejadian itu.
#13 motosikal
#1 kereta
#terbakar
#ruang parkir
#flat Pinang Emas
#Batu Ferringhi
#George Town
#pulau pinang
#Perodua Myvi