13 Mei lagi?
Noor Azam Shairi
Julai 8, 2014 15:04 MYT
Julai 8, 2014 15:04 MYT
Sekali lagi kita tercampak dalam polemik tentang peristiwa 13 Mei. Ceritanya sama ‒ pi mai pi mai tang tu juga. Ceritanya sama seperti cerita sebelum ini, sama seperti cerita sebelum itu dan sama seperti cerita sebelum-sebelumnya.
Seorang pemimpin menyebut tentang peristiwa berdarah itu: Jangan begitu, jangan begini atau 13 Mei akan jadi lagi. Kenyataan itu menyebabkan ada pihak rasa kurang senang. "Tarik balik," kata seseorang. "Ini kenyataan yang membawa negara patah balik ke belakang," kata seseorang yang lain. "Itu bukan amaran, itu hanya peringatan." "Jangan menghasut." "Jangan cabar kami."
Itu ini, begitu begini. Jangan itu, jangan ini. Ceritanya yang itu, itu juga.
Kalau kita renung dengan lebih dekat, yang riuh-rendah tentang 13 Mei ini hanyalah mereka yang terlibat dengan politik ‒ yang memegang jawatan politik, yang mencari makan dengan jalan politik, yang bergantung nyawa dengan pemimpin politik. Di luar daripada kelompok itu adalah manusia kakaktua yang mengulang-ulang apa yang didengarnya tanpa dia memahami apa yang dia kata.
Orang lain di luar kelompok itu tidak ada apa-apa pun. Hidup berjalan seperti biasa. Aman. Damai. Sejahtera. Anak semua bangsa adalah rakan mereka. Selebihnya, 13 Mei adalah peristiwa yang sudah terlalu jauh ditinggalkan dalam sejarah. Sebahagian besar rakyat negara pula tidak pernah melaluinya dan hanya membaca mengenainya daripada catatan sejarah yang terpecah-pecah, tergantung di petak mana penulisnya berdiri. Ini pernah saya tulis sebelum ini.
Adalah sesuatu yang sangat salah apabila selepas hampir 60 tahun tanah air ini mendapat hak menentukan masa depannya sendiri warganya masih ada rasa curiga antara satu sama lain. Bahawa negara ini sepertinya bukan milik kita bersama adalah sesuatu yang sangat membingungkan.
Apa yang tidak kena? Apa yang tidak kena dengan kita semua?
Kesatuan dalam kepelbagaian yang selalu dilaung-laungkan sebagai resipi kejayaan negara ini bukan dicapai dengan menakut-nakutkan rakyat. Rasa cinta kepada negara dan kasih sesama warga tidak mungkin ‒ dan tidak akan ‒ wujud dengan paksaan atau ugutan. Ia juga tidak akan wujudkan dengan cuba mengasing-asingkan warganya atas garis apa sekalipun ‒ ekonomi, pendidikan, bahasa, politik dan sebagainya.
Percayalah.