13 Mei jadi bahan bualan laman sosial
Khairul Wasiril Aswad
Mei 13, 2013 15:44 MYT
Mei 13, 2013 15:44 MYT
Sempena tarikh 13 Mei yang merekodkan peristiwa hitam tercetusnya sengketa kaum pada tahun 1969, pelbagai kata-kata positif dikongsikan orangramai khususnya golongan muda menerusi laman sosial masing-masing.
Meskipun sentimen perkauman kembali dibangkitkan sesetengah pihak sepanjang Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) yang lalu, generasi baru dilihat seolah-olah tidak termakan dengan hasutan politik kotor berkenaan.
Bagi generasi baru, perpaduan dan kedamaian di antara kaum yang dinikmati hari ini perlu terus dikekalkan dengan harapan detik berdarah itu tidak berulang lagi.
Pandangan mereka sejajar dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk rakyat menolak segala dakwaan berbentuk ekstremis dan isu perkauman yang tidak sihat.
Menurutnya, kerajaan akan meneruskan usaha menggalakkan kesederhanaan dan merapatkan jurang di kalangan rakyat yang berbilang kaum di Malaysia.
“Umno menganggap bukan Melayu sebagai rakan kongsi dan akan tetap mempertahankan dasar yang sederhana, adil dan saksama kepada semua bangsa,” katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun Umno ke-67 di Pusat Dagangan Dunia Putra pada Sabtu.
Justeru Najib turut memberi jaminan untuk meneruskan agenda transformasi yang mengangkat prinsip keadilan sosial sebagai teras pemerintahan mandat yang baru ini.
Rusuhan yang berlaku pada 13 Mei 1969 mengakibatkan seramai 196 orang terkorban, 39 hilang dan lebih 439 yang lain tercedera.
Kejadian meletus akibat sentimen perkauman yang dimainkan oleh calon-calon pilihan raya pada ketika itu.