13 Mei dipilih tarikh kemuncak kempen 'Uninstall Kebencian, Reboot #MalaysiaHarmoni'
Astro Awani
Januari 16, 2020 23:14 MYT
Januari 16, 2020 23:14 MYT
Selepas 51 tahun peristiwa yang didakwa rusuhan kaum, tarikh 13 Mei 2020 dipilih sebagai kemuncak kempen meraikan Malaysia harmoni.
Pengerusi dan Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf Datuk Dr Hussamuddin Yaacub mengajak seluruh rakyat Malaysia agar bersama menjayakan kempen “Uninstall Kebencian, Reboot #MalaysiaHarmoni”.
Tegas Hussamuddin, selama ini 13 Mei menjadi tarikh dan simbol perpecahan akibat pertistiwa hitam selepas Pilihan Raya Umum ke-3.
"Kita sudah melepasi PRU ke-14 pada 9 Mei 2018, membawa harapan ke arah negara Malaysia yang lebih sejahtera, tetapi kenapa kita masih membesarkan perkara kecil dan mengecilkan perkara besar?
"Kita tenggelamkan dengan suara kebangkitan rakyat yang ingin hidup rukun, damai dan harmoni. Rakyat perlu bersatu," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Beliau juga berpendapat, seluruh rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan pangkat hanya perlu berpegang kepada garis panduan sebuah negara bangsa yang berperlembagaan.
"Telah 51 tahun kita hidup membawa peristiwa rusuhan kaum. Selama ini 13 Mei menjadi tarikh dan simbol perpecahan.
"Pada 13 Mei 2020, kita Reboot #MalaysiaHarmoni dan terus melonjakkan Malaysia agar lebih produktif dan kompetitif," katanya lagi.
Beliau juga menegaskan seluruh rakyat Malaysia perlu segera mengambil peranan melakukan perubahan yang drastik dan mengembalikan keharmonian Negara dengan membangunkan semula sistem nilai dan moral dalam kalangan masyarakat berbilang agama dan bangsa.
Tegas beliau, peranan membangunkan semula sistem nilai dan moral yang dimaksudkan itu merupakan milik serta tanggungjawab semua pihak.
"Pemimpin seperti Dong Zong dan lain-lain, bertanggungjawab memberi kefahaman di kalangan masyarakat Cina dan Melayu juga bertanggungjawab memahamkan orang Melayu 'concern' yang diketengahkan oleh bangsa dan agama lain.
"Para pemimpin perlu berkomunikasi dengan bahasa yang mudah difahami oleh rakyat tentang perlunya
kefahaman ini dibincangkan dengan harmoni, bukannya melaga-lagakan pada platform / saluran yang salah yang akhirnya bukan mengecilkan perbezaan bahkan meluaskan lagi jurang perbezaan," katanya.
Hussamuddin juga menyeru agar seluruh rakyat negara ini meletakkan takut dan cinta hanya kepada Tuhan, bukan kepada manusia.
Jelas beliau, misi membangunkan tamadun negara bangsa tidak seharusnya terencat hanya kerana tersangkut pada masalah perpaduan.
Beliau juga menegaskan bahawa kempen “Uninstall Kebencian, Reboot #MalaysiaHarmoni”, perlu diterajui daripada rakyat untuk rakyat.
#Hussamuddin Yaacub
#Malaysia
#Malaysia Harmoni
#perpaduan
#Reboot MalaysiaHarmoni
#sejahtera
#Uninstall Kebencian Reboot MalaysiaHarmoni