13 mayat warga Indonesia ditemui terdampar di Pantai Tanjung Kelisa

Astro Awani
Januari 26, 2016 15:22 MYT
Bot pancung itu dipercayai terbalik dalam keadaan laut yang bergelora serta angin kencang. - Foto Bernama
13 mayat masing-masing sembilan wanita dan empat lelaki ditemui terdampar di Pantai Tanjung Kelisa, Mukim Timur, Bandar Penawar di sini, 8.40 pagi ini.
Semua mangsa yang dipercayai warganegara Indonesia dikatakan dalam perjalanan pulang ke negara mereka dengan menaiki sebuah bot pancung sebelum bot dinaiki itu karam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Rahmat Othman berkata, mayat itu ditemui oleh seorang lelaki sebelum melaporkan kepada majikannya dan terus membuat laporan polis.
Siasatan awal polis mendapati semua suspek telah merancang untuk pulang ke negara mereka dengan menaiki sebuah bot pancung.
Bot pancung itu dipercayai terbalik dalam keadaan laut yang bergelora serta angin kencang.
Semua mayat itu telah dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk tindakan lanjut.
#Bandar Penawar #bot karam #lemas #Pantai Tanjung Kelisa #pendatang
;