13 kakitangan pusat peranginan di Gunung Jerai berjaya turun

Bernama
Ogos 19, 2021 05:18 MYT
Keadaan sungai yang dipenuhi dengan kayu balak di Taman Rekreasi Titi Hayun selepas banjir kilat susulan kejadian kepala air di kaki Gunung Jerai pada Rabu, di Titi Hayun, Yan, 19 Ogos, 2021. --fotoBERNAMA
YAN: Sebanyak 13 daripada 19 kakitangan The Jerai Hill Resort, Gunung Jerai yang terkandas selepas laluan ke kaki gunung itu terputus akibat kejadian tanah runtuh petang Rabu, turun dengan selamat dari puncak gunung itu, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Yan DSP Shahnaz Akhtar Haji berkata mereka turun dengan penyeliaan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) selepas satu lorong di laluan terputus itu dibuka pada 5 petang semalam.
"Pihak JKR membuka satu lorong saja pada waktu siang yang hanya digunakan untuk staf resort itu, Telekom Malaysia (TM) dan tentera. Jadi setakat ini, yang masih tinggal enam orang di atas puncak Gunung Jerai," katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.
Beliau berkata kakitangan berkenaan dibenarkan turun dari puncak gunung itu dengan menaiki kenderaan masing-masing selepas pihak JKR membuat pemeriksaan terhadap keadaan jalan dan struktur tanah di kawasan terjejas.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Bencana Gunung Jerai: Empat maut, dua masih hilang
Shahnaz berkata enam individu yang masih berada di puncak gunung itu difahamkan ditugaskan untuk mengawasi dan memantau keadaan pusat pelancongan tersebut.
Sebelum ini, 19 kakitangan pusat peranginan itu dilaporkan terperangkap di puncak gunung selepas laluan turun terhalang oleh tanah runtuh yang berlaku pada Rabu.
-- BERNAMA
#gunung jerai #kepala air #bencana #terperangkap #pusat peranginan #kakitangan pusat peranginan #pusat pelancongan #puncak gunung #turun dari gunung #struktur tanah #The Jerai Hill Resort #terkandas #tanah runtuh #Shahnaz Akhtar Haji #Yan #JKR
;