13 ditahan berhubung kes kematian anggota tentera
Bernama
Mei 29, 2014 21:28 MYT
Mei 29, 2014 21:28 MYT
Polis menahan 13 anggota tentera bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang anggota tentera dan dua orang awam cedera di Pekan Lahad Datu semalam.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata kesemua mereka ditahan sejak semalam di sekitar Pekan Lahad Datu dan 13 laras senjata api turut dirampas.
"Mereka direman sehingga 4 Jun bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini dan menambah sehubungan itu kes berkenaan dianggap selesai.
Dalam kejadian kira-kira 4.45 pagi itu, seorang anggota tentera dipercayai melepaskan beberapa das tembakan untuk meleraikan kekecohan yang berlaku di hadapan sebuah kedai, yang tembaka itu mengakibatkan Lans Koperal Muhamad Fiffixezapey Mat Hussin, 28, cedera di dada dan meninggal di Hospital Lahad Datu.
Dua orang awam turut cedera yang merupakan warga Indonesia berumur 31 dan 38 tahun yang bekerja sebagai penjaga kelab malam.
Sementara itu di Tawau, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata kementerian berkenaan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan sebelum pihaknya mengambil sebarang tindakan.
Beliau berkata pihaknya memandang serius kejadian tersebut kerana ia melibatkan anggota pasukan keselamatan.
"Sekarang kes ini (adalah) kes polis dan polis akan buat siasatan dan kita pun tak pasti apa yang berlaku sehingga polis selesai melakukan siasatan.
"Jadi kena tunggu hingga polis membuat pengesahan berkaitan kejadian tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai perjalanan pengurusan kem Pusat Latihan Khidmat Negara, Kem San Shui di sini hari ini.
Menurutnya, jika terdapat bukti mencukupi, anggota tentera yang didakwa melepaskan tembakan itu akan didakwa di Mahkamah Awam kerana kes berlaku di kawasan awam serta melibatkan orang awam dan kes bukan berlaku di kawasan kem tentera.
Abdul Rahim juga berkata Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam penggunaan senjata api bagi anggota tentera akan ditambah baik jika terdapat kelemahan, tetapi ia bergantung kepada hasil siasatan kes berkenaan.
"Penggunaan senjata api di kalangan anggota tentera atau polis mempunyai SOP tertentu dan anggota yang tidak bertugas tidak harus menggunakan senjata api sewenang-wenangnya apatah lagi untuk kegunaan peribadi.
“Tapi kita akan tunggu siasatan, sama ada dia (suspek) ikut SOP atau tidak. Kalau dia ikut OK, tetapi kalau dia tidak ikut, kita akan tengok apa (bentuk) tindakannya. Kita akan lihat semula selepas pihak polis siasat,” katanya.