13 bas ekspres dilarang berada di jalan raya, empat pemandu positif dadah - JPJ
Bernama
Februari 7, 2024 05:45 MYT
Februari 7, 2024 05:45 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak 13 buah bas ekspres dilarang berada di jalan raya selepas didapati tidak mencapai standard keselamatan ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata tindakan tersebut diambil menerusi pemeriksaan Ops Khas Terminal sempena Tahun Baharu Cina dan cuti persekolahan.
Katanya, pihaknya telah melakukan pemeriksaan terhadap 2,801 buah bas di 28 terminal di seluruh negara sejak 1 Feb lepas hingga semalam.
Operasi ini dijalankan bagi memastikan bas yang akan digunakan mampu beroperasi dengan lancar tanpa sebarang masalah, katanya dalam sidang media Ops Khas Terminal, di Terminal Bersepadu Selatan, di sini, semalam.
“Dalam operasi ini, sebanyak 44 buah bas telah diambil tindakan dengan 13 daripadanya tidak dibenarkan berada di atas jalan raya kerana tahap keselamatan sangat rendah serta tidak mencapai standard keselamatan yang ditetapkan.
“JPJ juga menjalankan ujian saringan urin erhadap 187 pemandu bas dan daripada jumlah itu empat pemandu didapati menggunakan barang terlarang. Kes telah diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan untuk tindakan lanjut,” katanya.
“Selain itu, katanya, pihaknya juga menjalankan pemeriksaan teknikal terhadap tayar, sistem brek dan peralatan keselamatan bas-bas berkenaan bagi memastikan kelancaran perjalanan selain penumpang mendapat perkhidmatan pengangkutan awam yang selamat serta selesa ke destinasi yang dituju.
“Pemeriksaan buku log juga dibuat untuk memantau pergerakan kenderaan terbabit berada dengan sempurna,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang masalah berkaitan supaya melaporkan aduan secara terus atau masa nyata (real-time) dengan menggunakan Aplikasi MyJPJ e-aduan@jpj atau e-mel aduantrafik@jpj.gov.my beserta dengan butiran lengkap aduan.
-- BERNAMA