13 bahagian MIC Johor cadang veteran MIC anggotai jawatankuasa khas

Bernama
Januari 13, 2015 22:28 MYT
Ketua MIC Bahagian Gelang Patah S. Kanan G Suppiah, yang mewakili kesemua bahagian itu berkata, ini bagi memastikan pemilihan semula kali ini diadakan dengan telus. - Gambar Fail
Tiga belas bahagian MIC Johor mencadangkan agar veteran MIC dipilih bagi menganggotai jawatankuasa khas bagi memantau perjalanan pemilihan semula parti akan datang.
Ketua MIC Bahagian Gelang Patah S. Kanan G Suppiah, yang mewakili kesemua bahagian itu berkata, ini bagi memastikan pemilihan semula kali ini diadakan dengan telus.
"Kami mengesyorkan agar veteran MIC ini berada dalam jawatankuasa khas ini memandangkan mereka ini berpengalaman dan dilihat sebagai tiada kepentingan sendiri dalam parti," kata beliau kepada pemberita di Dewan Taman Nesa, Skudai, di sini hari ini.
Antara veteran MIC yang disebut termasuk Datuk K.S. Balakrishnan (Johor), Datuk G. Rajoo (Perak) dan Datuk K. Rajapathy (Pulau Pinang).
Turut hadir Datuk M. Asojan, Anggota Dewan Undangan Negeri Gambir. Pada 18 Dis lepas, Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel berkata parti itu akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyelesaikan masalah dalaman parti.
Keputusan itu dibuat susulan arahan Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang mahukan pemilihan semula bagi jawatan naib presiden dan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu berikutan aduan mengenai penyalahgunaan kuasa dan perbuatan salah laku yang melanggar perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan.
Bahagian MIC yang turut mencadang termasuk MIC Bahagian Ledang, Kota Tinggi, Sri Gading, Tanjung Piai, Bakri, Parit Sulong dan Ayer Hitam.
#Datuk G. Rajoo #Datuk K. Rajapathy #Datuk K.S. Balakrishnan #jawatankuasa khas #Ketua MIC Bahagian Gelang Patah G.Suppiah #MIC Johor #veteran MIC
;