13 Akademi Latihan Penjara diwartakan sebagai Penjara Khas pesalah PKP

Astro Awani
April 15, 2020 14:31 MYT
Sebanyak 13 akademi penjara diwartakan sebagai pusat tahanan baharu untuk menempatkan pesalah PKP. Gambar/ Astro AWANI.
Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan 13 Akademi Latihan Penjara sebagai Penjara Khas untuk menempatkan pesalah yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bagi mencegah kesesakan di penjara dan mengekalkan penjarakan sosial.
"Sekarang timbul isu sebab terlalu ramai yang ditangkap, kita kurangkan (tindakan mengenakan) kompaun dan apabila (mereka) dibawa ke mahkamah maka timbul isu iaitu penjara akan sesak dan pastinya penjarakan sosial tidak dapat dilaksanakan.
"Oleh itu, mesyuarat Kabinet telah putuskan iaitu supaya KDN mewartakan 13 akademi penjara sebagai pusat tahanan yang baharu untuk pesalah ingkar PKP dan yang berkaitan.
"Jadi sebab kita ada 13 akademi yang kita tukar jadi penjara atau pusat tahanan kepada pesalah PKP, maka kita akan pastikan penjarakan sosial dan sebagainya (langkah pencegahan COVID-19 dilaksanakan),"katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.
Bagaimanapun, katanya peraturan dan undang-undang yang diguna pakai terhadap pesalah PKP adalah sama seperti dikenakan terhadap pesalah jenayah lain yang dipenjarakan di penjara biasa tanpa sebarang keistimewaan.
"Ini tidak bermakna mereka masuk ke dalam akademi ini mereka akan diberikan makanan bermewah-mewah dan sebagainya. Ini tidak akan berlaku.
"Ia tetap mengikut SOP penjara biasa. Perkara lanjut mengenai perundangan dan sebagainya akan dibincangkan oleh PDRM, Peguam Negara dan Jabatan Penjara," tambahnya.
#COVID19 #ismail sabri yaakob #KDN #Kementerian Dalam Negeri #kerajaan #keselamatan #mahkamah #menteri #PDRM #Peguam Negara #penjara #SOP #undang-undang
;