13,095 pendatang tanpa izin ditahan di Johor tahun lepas - Imigresen

Bernama
Februari 27, 2025 19:59 MYT
Jabatan Imigresen Johor memaklumkan sebanyak 25,923 individu telah diperiksa dalam 3,040 operasi dilakukan, yang turut menahan 306 majikan.
JOHOR BAHRU: Sebanyak 13,095 pendatang tanpa izin ditahan dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di seluruh negeri ini bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Dis tahun lepas.
Jabatan Imigresen (JIM) Johor dalam hantaran menerusi Facebook memaklumkan sebanyak 25,923 individu telah diperiksa dalam 3,040 operasi dilakukan, yang turut menahan 306 majikan.
"Pemeriksaan dijalankan di premis perniagaan bagi memastikan tiada majikan menggajikan pendatang tanpa izin sama ada di kawasan secara rambang atau lokasi 'hotspot'.
"Sebanyak 3,206 pendatang tanpa izin didakwa di Mahkamah Sesyen Pontian manakala mereka yang telah menjalani hukuman penjara akan dibawa ke Depot Imigresen Pekan Nanas, Pontian untuk pemindahan," menurut hantaran itu.
Imigresen Johor memaklumkan sebanyak 5,719 pendatang tanpa izin telah dipindahkan ke negara asal yang melibatkan pelbagai negara melalui pintu masuk udara, darat dan laut.
"Jabatan Imigresen akan terus memperkasakan penguatkuasaan di seluruh Johor dalam usaha membanteras warga asing yang melanggar undang-undang serta peraturan Imigresen.
"Pada masa sama, kita turut memerangi majikan, pemilik premis serta individu yang bersubahat menggajikan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan pas atau permit yang sah," menurut hantaran itu.
-- BERNAMA
#jabatan imigresen #pati #pendatang tanpa izin #Johor
;