128 murid luar bandar Sarawak sertai Program Robotik YBR
Bernama
Disember 9, 2022 12:46 MYT
Disember 9, 2022 12:46 MYT
KUCHING: Seramai 128 murid luar bandar Sarawak berusia 10 dan 11 tahun menyertai Program Peningkatan Kemahiran Teknologi Pengaturcaraan Robotik bagi Pelajar B40 anjuran Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sepanjang Disember ini.
YBR dalam kenyatan hari ini memaklumkan program itu sebagai usaha melahirkan lebih ramai tenaga mahir melibatkan pelajar luar bandar dalam bidang inovasi, sains dan teknologi serta menjayakan hasrat kerajaan untuk pendidikan serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) berkembang pesat di Malaysia.
"Program melibatkan tiga sesi ini berobjektif membantu pelajar membina pemikiran logik dan sistematik dalam merancang dan melaksanakan program serta direka untuk mengukur tahap pengetahuan, sikap dan amalan pelajar melalui pra dan pasca intervensi melalui penggunaan pemprograman robotik," menurut kenyataan itu.
Berlangsung dari 5 hingga 26 Dis di Dewan Masyarakat Sebuyau, kira-kira 110 kilometer dari sini, bengkel robotik itu turut melibatkan 22 guru dan tiga fasilitator dari UKM bagi melatih peserta agar sentiasa berfikiran kritikal, kreatif dan bekerjasama dalam membuat keputusan.
Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani dalam kenyataan itu berharap program berkenaan memberi impak kepada kesemua peserta memperoleh pengalaman, menggunakan pengetahuan mengenai robotik dengan teknologi semasa.
"Dalam memacu negara ke arah modenisasi, bidang inovasi harus diberi pendedahan yang berterusan demi kelangsungan tenaga mahir yang merupakan aset kepada sebuah negara maju," katanya.
-- BERNAMA