128 mangsa banjir dipindahkan ke Stadium Muhibbah Bintulu
Astro Awani
November 28, 2020 12:08 MYT
November 28, 2020 12:08 MYT
BINTULU : Penduduk di tiga kampung di Bintulu yang terjejas akibat banjir kilat pada Jumaat telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Stadium Muhibbah Bintulu.
Menurut Pegawai Agensi Pertahanan Awam (APM), Leftenan Ra'idah Jomi berkata, tiga kampung terbabit adalah kawasan setinggan Sungai Sebatang, Sungai Plan dan Kampung Avenue yang melibatkan 128 mangsa.
Ujarnya, pemindahan bermula sekitar jam 11 Jumaat malam setelah pihaknya mendapat maklumat rumah di tiga kawasan berkenaan terkesan akibat banjir.
"Operasi pemindahan penduduk ini melibatkan 30 keluarga dari Sungai Plan, 11 keluarga dari Sungai Sebatang dan dua keluarga dari Kampung Avenue apabila rumah mereka dimasuki air sedalam antara 0.5 ke 0.6 meter," jelasnya.
Ujarnya lagi, PPS Stadium Muhibah yang mula dibuka pada jam 1.39 pagi semalam. Perkara itu disahkan Residen Bahagian Bintulu selaku Pengerusi Jabatan Pengurusan Bencana Daerah.
Tambahnya lagi, dua pasukan telah dikerahkan dari APM Bintulu untuk menjalankan pemantauan serta pemeriksaan ke kawasan-kawasan terjejas.
“Kita turut difahamkan air banjir naik mendadak menyebabkan penduduk tidak sempat menyelamatkan barangan milik mereka dan mujurlah tidak berlaku kejadian yang tidak diingini," katanya.
Selain tiga kawasan tersebut, pihaknya turut mengesahkan beberapa laluan utama di bandar Bintulu juga dinaiki air. Laluan-laluan berkenaan adalah Jalan Sungai Plan, Jalan Tanjung Batu, Jalan Sebiyu dan Jalan Tun Hussein Onn.
#Banjir di Bintulu
#tiga kawasan terjejas banjir
#Pusat Pemindahan Sementara PPS Stadium Muhibbah Bintulu
#Pegawai Agensi Pertahanan Awam APM