127 warganegara Malaysia dikenal pasti mangsa sindiket POGO di Filipina
Bernama
Jun 30, 2023 19:18 MYT
Jun 30, 2023 19:18 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Luar berjaya mengenal pasti seramai 127 warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket buruh paksa hab Philippine Offshore Gaming Operator (POGO) yang ditumpaskan pihak berkuasa Filipina pada Selasa.
Kementerian dalam satu kenyataan berkata mereka adalah antara sejumlah 134 orang mangsa yang dipercayai warganegara Malaysia.
"Kesemua mangsa telah diselamatkan oleh polis Filipina semasa operasi serbuan ke atas POGO pada 27 Jun lepas," kata kenyataan itu.
Kementerian berkata hasil lawatan konsular yang telah diadakan ke atas mangsa-mangsa warganegara Malaysia mendapati kesemua mangsa berada dalam keadaan baik.
Bagaimanapun, kenyataan itu menyebut terdapat beberapa isu logistik dan kebajikan yang sedang diambil tindakan oleh pihak berkuasa tempatan untuk memastikan kesemua mangsawarganegara Malaysia berada dalam keadaan terbaik.
Sebarang maklumat terkini berkaitan perkara ini akan dimaklumkan dari semasa kesemasa.
-- BERNAMA