127 mahasiswa kumpulan pertama di Sarawak bergerak pulang

Astro Awani
April 30, 2020 18:46 MYT
Mahasiswa tempatan dari Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta di Sarawak mula pulang ke kampung halaman masing masing hari ini. - Foto UNIMAS
Mahasiswa tempatan dari Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta di Sarawak mula bergerak pulang ke kampung halaman masing-masing hari ini.
Perjalanan kumpulan pertama ini melibatkan 127 mahasiswa yang berlepas pulang ke Sibu.
Menurut Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Mohamad Kadim Suaidi, operasi penghantaran melibatkan lapan buah bas dan beberapa agensi keselamatan antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kita sudah aturkan perjalanan secara berperingkat dan semua bas yang digunakan akan disanitasi oleh Pihak Bomba dan Penyelamat.
“Ini sebagai langkah berjaga-jaga yang kami amalkan bersesuaian dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” ujarnya.
Jelasnya, setibanya di destinasi mahasiswa akan diuruskan pihak bertanggungjawab di daerah masing-masing bagi memastikan mereka sampai ke rumah dengan selamat.
Prosedur seperti ini juga akan dilaksanakan kepada pelajar Semenanjung yang dijadual berangkat pulang bermula Jumaat.
“Penerbangan mereka dijangka berlepas sekitar jam 1:30 petang esok menuju ke Kuala Lumpur dan penerbangan sama juga yang akan membawa pelajar Sarawak di Semenanjung kembali ke Sarawak,” tambahnya.
Terdahulu Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pesawat yang digunakan untuk menghantar pulang pelajar Sabah dan Sarawak di Semenanjung, akan turut digunakan untuk membawa balik pelajar Semenanjung yang berada di kedua-dua negeri itu.
Tambahnya hal itu kerana pesawat itu merupakan pesawat khas dan kos perjalanannya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
#AWANI Sarawak #COVID-19 #ipta #ipts #KKM #PDRM #perintah kawalan pergerakan #Profesor Datuk Mohamad Kadim Suaidi #Sarawak #Unimas
;