127 ditahan, RM31.86 juta nilai sitaan dalam Operasi Bersepadu Khazanah

Bernama
November 30, 2021 17:48 MYT
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERLIHITAN) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim (tengah) pada sidang media selepas Mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) hari ini. - Foto BERNAMA
GEORGE TOWN: Seramai 127 orang termasuk pemburu haram ditahan dan nilai sitaan berjumlah RM31.86 juta termasuk hidupan liar yang dirampas hasil 11 siri Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dijalankan sepanjang tahun ini di seluruh negara.
Ketua Pengarah Jabatan Taman Negara dan Hidupan Liar Semenanjung Malaysia (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata sebanyak 69 kertas siasatan telah dibuka dan 293 jerat hidupan telah dimusnahkan di lapangan sepanjang tempoh berkenaan.
"Tahun ini mencatatkan jumlah sitaan paling besar iaitu RM31.86 juta berbanding tempoh dua tahun lepas iaitu sebanyak RM4.25 juta, kejayaan ini adalah hasil OBK yang dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi lain antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Sepanjang tahun ini juga, sebanyak 56 kesan khemah warga asing dikesan di Hutan Simpan dan Taman negara, 19 kesan takikan serta tebangan pokok karas dan 2,352 lain-lain kesan pemburuan serta pencerobohan telah direkodkan," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat OBK yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim dan Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir di sini hari ini.
Abdul Kadir berkata OBK telah dilaksanakan dalam beberapa fasa dan operasi rondaan sejak September 2019 bagi membanteras isu pencerobohan, pembalakan haram, mencuri hasil hutan negara dan pemburuan hidupan liar serta lain-lain kesalahan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
Katanya menerusi OBK sejak 2019 hingga tahun ini, sebanyak 39 siri operasi rondaan dengan 181 kertas siasatan telah dibuka melibatkan 350 tangkapan manakala 1,425 jerat hidupan liar dimusnahkan dan pasukan operasi juga merampas serta menyita 28 laras senjata api berlesen serta senjata api buatan sendiridaripada pemburu haram.
"Berdasarkan OBK, kami mendapati negara kita menjadi transit bagi beberapa hidupan liar terutama tenggiling yang dibawa masuk dari Indonesia sebelum ia diseludup keluar menerusi pengangkutan udara dan laut ke beberapa negara khususnya Vietnam dan China, tahun lepas sahaja kami rampas dua tan tenggiling,"katanya.
Beliau berkata siasatan juga mendapati mereka yang ditahan dalam OBK itu merupakan ahli-ahli sindiket manakala ketua mereka yang mempunyai rangkaian di luar negara ketika ini berada dalam radar pemantauan pasukan operasi.
Sementara itu, Mazlan berkata PDRM akan menubuhkan unit baharu iaitu Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar atau "Wildlife Crime Bureau" (WCB) yang berpusat di Bukit Aman, bagi membantu menyiasat jenayah-jenayah membabitkan sindiket penyeludupan hidupan liar.
Katanya unit itu akan ditubuhkan dalam tempoh terdekat dan pada masa ini kertas kerja mengenainya telah pun siap dan unit berkenaan akan dianggotai oleh 50 pegawai dan anggota polis.
"Unit WCB akan menggunakan kepakaran yang ada dalam pasukan polis bagi membantu Perhilitan menumpaskan sindiket yang mempunyai rangkaian penyeludupan hidupan liar termasuk bagi menyita akaun-akaun bank milik sindiket di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, PencegahanPembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA)," katanya.
-- BERNAMA
#Operasi Bersepadu Khazanah #OBK #pemburu haram #hidupan liar #Perhilitan #PDRM #kastam #Jabatan Perhutanan #Imigresen #NGO
;