126 premis makanan diarah tutup dalam Ops Kepialu KL

Azyyati Ahmad
November 6, 2015 17:28 MYT
Dr Noor Hisham (dua dari kiri) ditemui selepas menyertai Ops Kepialu KL 2015 di sekitar Jalan Raja Laut, pada Khamis. - Foto Astro AWANI
Sebanyak 126 premis makanan telah diarahkan tutup dalam Operasi (Ops) Kepialu KL 2015 yang dijalankan bermula 4 hingga 6 November atas faktor kebersihan.
Ops Kepialu KL 2015 yang dijalankan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL ) diadakan berikutan peningkatan luar biasa kes demam kepialu di Kuala Lumpur dan Selangor.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, setakat ini 177 premis sekitar Lembah Kelang telah diperiksa.
Dr Noor Hisham berkata, pemilik premis yang gagal menepati syarat yang ditetapkan dan melakukan tatacara pengendalian makanan yang tidak bersih dan selamat juga akan dikenakan kompaun.
Beliau memberitahu, sejak Ogos sejumlah 1,054 premis makanan sekitar ibu negara telah diperiksa dan daripada jumlah itu, 276 premis telah diarahkan tutup sementara 247 dikenakan kompaun.
Sementara itu, seramai 4,326 pengendali makanan telah diperiksa dan daripadanya sejumlah 222 warga tempatan serta 527 warga asing didapati tidak mendapatkan suntikan pelalian tifoid.
Dr Noor Hisham ditemui selepas menyertai Ops Kepialu KL 2015 di sekitar Jalan Raja Laut pada Khamis.
Dalam serbuan itu, sebuah premis makanan diarahkan tutup kerana dapurnya dipenuhi lipas dan lalat.
#demam kepialu #Dr Noor Hisham Abdullah #Ops Kepialu
;