126,000 individu disuntik vaksin COVID-19 setiap hari bermula hujung Feb - Dr Adham

Astro Awani
Februari 13, 2021 17:09 MYT
Dr Adham Baba berkata, KKM sudah mempunyai senarai penerima suntikan vaksin bagi fasa pertama yang terdiri daripada petugas barisan hadapan. - Gambar hiasan/AP
JOHOR BHARU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan 126,000 individu mampu diberikan suntikan vaksin COVID-19 setiap hari di 600 lokasi vaksinasi di seluruh negara, bermula akhir bulan ini.
Jumlah itu berdasarkan perkiraan 30 individu sehari bagi setiap satu vaksinator.
Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, setiap lokasi akan menempatkan tujuh vaksinator.
"Suntikan akan diberikan secara berjadual bagi mengelakkan berlakunya kesesakan di lokasi vaksinasi.
"Individu yang akan disuntik akan mengisi dokumen khas sama ada dimuatnaik menerusi aplikasi MySejahtera atau diberi petugas khas seminggu sebelum menerima suntikan," katanya selepas membuat tinjaun di tiga lokasi asrama pekerja kilang di Senai, Kulai, Johor.
BACA: Ikuti perkembangan berita terkini vaksin COVID-19, klik di sini.
Vaksin COVID-19 | 126 ribu akan divaksin dalam masa sehari - Menteri
Adham turut memaklumkan, KKM sudah mempunyai senarai penerima suntikan vaksin bagi fasa pertama yang terdiri daripada petugas barisan hadapan.
Katanya, fasa pertama melibatkan vaksin Pfizer-Biontech mulai hujung bulan ini hingga April depan.
Sementara fasa kedua pada Mac pula akan melibatkan golongan berisiko termasuk mereka yang berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan dilindungi seperti menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan sebagainya.
#vaksin #Pfizer #golongan berisiko #Kementerian Kesihatan #Adham Baba #frontliner #barisan hadapan #vaksinator
;