125 permohonan undi pos diterima

Astro Awani
Januari 23, 2013 07:05 MYT
Suruhanjaya pilihan raya, SPR menerima 125 permohonan rakyat Malaysia di luar negara yang ingin mengundi secara pos pada pilihan raya umum ke-13.
Menurut pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, permohonan paling banyak diterima daripada rakyat Malaysia di Australia dan United Kingdom.
Peraturan yang membenarkan rakyat Malaysia menetap di luar negara untuk mengundi secara pos dibuat pada 21 Januari lepas berdasarkan tiga syarat.
Antaranya perlu menjadi pengundi berdaftar terlebih dahulu.
Mereka juga mesti pernah berada di Malaysia atau kembali ke negara ini tidak kurang 30 hari dalam tempoh lima tahun sebelum pembubaran parlimen dan dewan undangan negeri.
Kebenaran juga diberi kepada mereka yang menetap di luar negara kecuali yang tinggal di selatan Thailand, Singapura, Brunei dan Kalimantan.
Tempoh memohon kemudahan mengundi secara pos dibuka sejak 21 Januari lepas sehingga 12 tengah malam hari parlimen dibubar kelak.
SPR juga merancang mengadakan proses undi pos di pejabat kedutaan dan bakal menjalankan latihan bersama pegawai terlibat selewatnya Februari ini.
#pilihan raya #PRU13 #SPR #tan sri abdul aziz mohd yusof
;