125 mesin air bertapis tanpa lesen bernilai RM875,000 disita

Dewi Nur Harasha Alias
Disember 15, 2021 16:40 MYT
Anggota penguatkuasa Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang menyita salah sebuah mesin air bertapis yang mengabaikan faktor kebersihan dan kesihatan. - Gambar Astro AWANI
KEPALA BATAS: Tidak hanya sekadar beroperasi tanpa lesen, malah logo halal yang digunakan juga turut menimbulkan sangsi.
Lebih mencurigakan apabila kandungan air bertapis yang didakwa mempunyai kebaikan untuk kesihatan sehingga boleh memperdayakan pengguna.
Berikutan itu, sebanyak 125 buah mesin penjualan air yang bernilai RM875,000 disita Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) yang menjalankan ops sita ke atas mesin penjualan air di seluruh negeri itu sejak semalam.
Menurut Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNPP, Mohd Wazir Khalid, tindakan sitaan dibuat berikutan pemiliknya gagal mematuhi peraturan ditetapkan selain mengabaikan faktor kebersihan dan kesihatan.
Bahkan, kata Mohd Wazir, kesalahan paling banyak dilakukan pemilik ialah beroperasi tanpa memperoleh lesen daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“(Ada juga) kesalahan membuat dakwaan kesihatan atau tuntutan perubatan dan menggunakan sumber air dan elektrik daripada punca (penggunaan) domestik bukan perniagaan.
“Kita juga sangsi dengan penggunaan logo halal (sama ada) mendapat kebenaran daripada pihak berwajib atau sekadar strategi pemasran (yang) dilekatkan di mesin-mesin ini,” kata Mohd Wazir kepada pemberita selepas mengadakan ops sita di sekitar Butterworth, pada Rabu.
Jelas beliau, sitaan dibuat di bawah Seksyen 4(1)(f) Akta Makanan 1983 atas kesalahan di bawah Peraturan 360C(4) Peraturan-peraturan makanan 1985.
Tindakan menyita mesin-mesin air itu juga, kata Mohd Wazir, dibuat kerana JKNPP tidak mahu kejadian yang tidak diingini seperti keracunan atau kehilangan nyawa berlaku disebabkan kesan pengambilan air bertapis itu.
“Sebagai langkah keselamatan awal, kita menyita semua mesin tanpa lesen dan jika berlaku sesuatu keadaan yang tak diingini seperti kematian, keracunan dan sebagainya itu adalah terlewat bagi.
“Disebabkan itu kami menyita mesin-mesin tapis air ini supaya kami mudah memantau mesin-mesin yang berada di sekitar,” jelas beliau lagi.
Mohd Wazir berkata, mesin-mesin air yang berlesen akan memudahkan pihaknya melakukan pemantauan sekali gus menjamin sumber air tersebut selamat untuk orang ramai.
Tegasnya, JKNPP memberi tempoh selama 14 hari kepada pemilik-pemilik mesin jualan air penapis itu hadir ke pejabat kesihatan berhampiran untuk tindakan lanjut.
Sekiranya mereka gagal berbuat demikian selepas tempoh tiga bulan, Mohd Wazir berkata, pihaknya akan membuka kertas pertuduhan dan membuat permohonan kepada mahkamah untuk melupuskan semua mesin tersebut.
#mesin air bertapis #disita #Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang #mesin penjualan air
;