124 lokasi 'hotspot' banjir dikenal pasti di Melaka - APM

Bernama
Oktober 7, 2024 13:30 MYT
Kamarulsyah berkata 19 pegawai dan 306 anggota APM Melaka di pelbagai peringkat sudah bersiap sedia untuk menghadapi musim Monsun Timur Laut ketika ini. - Foto Bernama
MELAKA: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka telah mengenal pasti 124 'hotspot' yang sering dinaiki air apabila berlaku hujan lebat berterusan di negeri ini, yang terdiri daripada 59 kawasan di Melaka Tengah, 42 di Jasin dan 23 lagi di Alor Gajah.
Pengarahnya Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata 19 pegawai dan 306 anggota APM Melaka di pelbagai peringkat sudah bersiap sedia untuk menghadapi musim Monsun Timur Laut ketika ini.
"Pegawai dan anggota kita telah diberikan latihan secara berkala seperti tugas mencari dan menyelamat, pertolongan cemas dan operasi bantuan banjir," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini hari ini.
Beliau berkata selain itu APM Melaka juga membangunkan pelan tindakan banjir yang menggariskan langkah-langkah perlu termasuk cara memindahkan mangsa bencana serta penyampaian bantuan awal kepada mereka yang memerlukan.
Kamarulsyah berkata aset APM Melaka yang terdiri daripada lima lori, 32 bot, 11 pacuan empat roda dan 10 ambulans juga telah bersiap sedia untuk digerakkan ke mana-mana jua kawasan bencana pada bila-bila masa.
Beliau seterusnya menasihatkan penduduk di kawasan berisiko banjir agar segera berpindah ke pusat pemindahan sementara apabila hujan lebat melebihi tempoh dua jam bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
-- BERNAMA
#APM Melaka #hotspot #banjir #monsun timur laut
;