123,243 keluarga miskin berdaftar dengan eKasih
Ridauddin Daud
Mac 28, 2023 12:30 MYT
Mac 28, 2023 12:30 MYT
KUALA LUMPUR: Sejumlah 123,243 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin telah berdaftar dengan eKasih setakat 15 Mac 2023.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, data itu adalah melalui pendaftaran dan pengesahan di lapangan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri.
Menurutnya, pemutihan dan pengemaskinian data sentiasa dilaksanakan bagi memastikan hanya yang benar-benar layak berdaftar, dan tidak lagi tercicir daripada menerima bantuan.
“Usaha kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan adalah melalui program-program yang diselaraskan dan dilaksana melalui dua pendekatan iaitu meningkatkan pendapatan rakyat yang miskin melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).
“Kedua, meminimum beban kos sara hidup melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR), bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada 400,000 golongan yang mudah terjejas, subsidi, bantuan dan insentif sebanyak RM64 bilion serta pelaksanaan konsep Payung Rahmah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa, menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN - Jelebu).