122 fragmen tulang manusia prasejarah Gua Niah dalam perjalanan pulang ke Sarawak
Astro Awani
Februari 28, 2020 15:29 MYT
Februari 28, 2020 15:29 MYT
122 fragmen tulang manusia prasejarah Gua Niah kini dalam perjalanan pulang ke Sarawak dari Gainesville, Florida, Amerika Syarikat.
Proses pemulangan yang bermula pada pukul 4 pagi Khamis waktu tempatan itu diselia oleh Pensyarah Universiti Florida, Profesor Dr John Krigbaum dan dibantu pihak Jabatan Muzium Sarawak.
Menurut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, momen bersejarah ini memberi makna besar kerana usaha pengembalian dilakukan sejak beberapa tahun lalu.
“Saya sendiri memang terasa gembira sekali melihat tulang-tulang yang datangnya dari Gua Niah ini akhirnya kembali ke tanah air kerana kita tahu usaha untuk mengembalikan tulang ini sudah diusahakan lama.
"Ia bermula dari tahun 2010 yang mana Ketua Menteri pada masa itu, Pehin Sri Abdul Taib telah memohon agar tulang-tulang yang telah dihantar ke Amerika ini dapat dikembalikan,” katanya.
Tulang-tulang manusia ini telah diekskavasi dari gua tersebut sejak 1950-an hingga 1960-an sebelum dihantar ke Amerika Syarikat pada 1966.
Sejak tempoh tersebut, tulang-tulang berkenaan ditempatkan di Universiti Nevada, Las Vegas sebelum dipindahkan ke Universiti Florida di Gainesville pada 2017 bagi tujuan penyelidikan.
Dalam pada itu, Pemangku Pengarah Muzium Sarawak, Tazudin Mohtar yang turut hadir pada majlis bersejarah itu memberitahu proses penghantaran dilakukan secara berhati-hati agar ia tidak rosak dan terancam akibat perjalanan yang jauh.
Proses penghantaran melalui beberapa lokasi antaranya Atlanta sebelum diterbangkan ke Singapura dan seterusnya ke Kuching.
“Kumpulan tadi yang diketuai oleh Profesor John Krigbaum telah membuat pembungkusan yang rapi untuk dihantar ke negeri asal, iaitu Sarawak,” jelasnya.
Dalam pada itu, satu upacara khas akan diadakan untuk menyambut ‘kepulangan’ tulang-tulang ini apabila tibanya di tanah air.
#Amerika Syarikat
#Astro Awani
#AWANI Sarawak
#Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah
#gua niah
#Kuching
#Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Kesenian Sarawak
#Sarawak
#tulang manusia prasejarah
#Tulang Prasejarah