122,062 murid Tahun Satu ikuti Program Intervensi Literasi dan Numerasi

Bernama
September 9, 2024 15:03 MYT
Azman (tengah) menunjukkan pelaksanaan Intervensi Kurikulum selepas sidang media khas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia berhubung Intervensi Kurikulum hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Seramai 122,062 murid Tahun Satu di seluruh negara ini dipilih mengikuti Program Intervensi Literasi dan Numerasi bermula bulan lepas, bagi membantu mereka menguasai kemahiran membaca, menulis, dan mengira (3M).
Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata murid-murid itu disaring oleh guru mereka selepas tiga bulan mengikuti kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) di Tahun Satu, dan dikenal pasti belum mencapai TP1 (Tahap Penguasaan) bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik.
"Daripada keseluruhan 448,113 murid dalam kohort Tahun Satu, setelah kita saring melalui penilaian dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), anak-anak yang memperoleh penguasaan sekurang-kurangnya tahap satu adalah berjumlah 122,062 orang.
"Daripada 122,062 yang disaring, 62,928 murid didapati belum menguasai literasi dan numerasi; 45,465 murid tidak menguasai literasi; dan 13,669 murid belum menguasai numerasi," katanya pada Sidang Media Khas Berhubung Intervensi Kurikulum, di sini hari ini.
Azman berkata ketiga-tiga kelompok murid itu akan diberikan intervensi berdasarkan kepada isu tahap penguasaan minimum yang mereka peroleh, dan guru-guru akan melaksanakan program intervensi selama tiga bulan bermula bulan lepas.
"Murid-murid akan dikelompok mengikut kumpulan yang tidak kompeten dan intervensi akan diberi berdasarkan kepada modul kit atau bahan bacaan yang sesuai oleh guru-guru.
"Setelah tiga bulan, penilaian akan dibuat dan bagi murid yang menguasai literasi dan numerasi akan kembali ke kelas arus perdana, manakala yang belum kuasai akan terus diberi intervensi yang sesuai sehingga mereka mencapai tahap penguasaan lebih daripada minimum untuk mereka kembali ke bilik darjah," katanya.
Azman berkata Program Intervensi Literasi dan Numerasi itu merupakan salah satu daripada empat inisiatif yang dilaksana Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menambah baik intervensi kurikulum dalam usaha menangani isu keciciran pembelajaran, iaitu di bawah inisiatif pengesanan awal literasi dan numerasi.
Beliau berkata tiga lagi inisiatif ialah susunan semula kurikulum, pelaporan PBD yang mesra ibu bapa, dan latihan untuk guru, dan telah mula dilaksanakan sejak Mac lepas.
Azman berkata KPM komited memastikan intervensi kurikulum yang sedang dilaksanakan dapat memberi impak positif kepada pengalaman pembelajaran murid serta kualiti pendidikan secara keseluruhan.
"Kurikulum yang disusun semula diharap dapat memenuhi keperluan dan gaya pembelajaran murid melalui penyediaan bahan pembelajaran yang relevan. Sokongan masyarakat termasuk ibu bapa dan pihak berkepentingan lain adalah diharapkan bagi memastikan inisiatif ini berjaya," katanya.
-- BERNAMA
#murid Tahun Satu #Program Intervensi Literasi dan Numerasi #Kementerian Pendidikan #Ketua Pengarah Pendidikan #Azman Adnan
;