120 mangsa banjir Kota Belud di Pusat Pemindahan Sementara

Ruzaini Zulkepli
Disember 12, 2017 09:59 MYT
Antara kawasan yang terjejas banjir ialah di Kampung Bunga Tengilan, Tuaran. - Astro AWANI / RUZAINI ZULKEPLI
Sebanyak 120 mangsa banjir daripada 79 keluarga di 26 buah kampung di daerah ini dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Masyarakat Tun Said, pagi ini.
Setakat jam 7.30 pagi, semua mangsa berjaya dipindahkan dengan bantuan pasukan penyelamat yang terdiri daripada beberapa agensi, menurut Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah Lt. Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud.
"Sebanyak 26 buah kampung terjejas akibat dinaiki air dalam kejadian banjir kali ini. Pasukan penyelamat turut menyediakan enam buah aset bot sebagai bantuan kecemasan memindahkan mangsa yang terkesan," katanya.
Mohd Izaimi berkata, antara kampung yang terlibat ialah Kg Donggoi, Kg Marajah, Kg Gunring, Kg Sadok-Sadok, Kg Sembirai, Kg Lingkodon, Kg Linau, Kg Lebak Moyoh, Kg Bobot, Kg Suang Punggur, Kg Menunggui, Kg Song-Song, Kg Sangkir, Kg Karang Benai, Kg Bota Bungan dan Kg Kota Belud.
Sementara itu, antara jalan yang direkodkan terputus akibat banjir di daerah itu adalah Jalan Kg Marajah-Donggoi, Kg Lebak Moyoh-Bypass Kudat, Jalan Kg Sembirai, Jalan Kg Linau, Jalan Kota Belud dan Jalan Siasai Tamu.
Mohd Izaimi menerangkan, paras air di Sungai Kadamaian berada di tahap amaran iaitu 1.91 meter.
"Manakala Sungai Abai pula mencecah paras bahaya pada 5.81 meter.
"Operasi ini masih dijalankan dan setiap perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," tambahnya.
Selain APM, agensi lain yang turut terlibat memberi bantuan mangsa banjir termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Pasukan Polis Marin dan Pasukan Gerakan Am.
#banjir #Kota Belud #mangsa #pusat pemindahan
;