120 kotak ekor lembu dari Brazil dirampas Maqis Pulau Pinang

Astro Awani
November 13, 2022 12:15 MYT
Pemeriksaan Maqis mendapati, keseluruhan dagangan yang diimport adalah bahagian lembu seperti ekor lembu sejuk beku seberat 3,000 kilogram bernilai kira-kira RM76,000. - Foto Maqis
BUTTERWORTH: Cubaan membawa masuk 120 kotak ekor lembu sejuk beku dari Brazil gagal selepas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas produk berkenaan di Pelabuhan Pangkalan Kontena Utara Butterworth (NBCT) pada Khamis.
Pengarah Maqis Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd Talib berkata, kontena yang membawa kesemua dagangan tersebut ditahan Maqis selepas mendapati penggunaan maklumat yang tidak tepat serta mengelirukan.
Pemeriksaan pihak Maqis mendapati, keseluruhan dagangan yang diimport adalah bahagian lembu seperti ekor lembu sejuk beku (frozen ox offal tail) seberat 3,000 kilogram, dianggarkan bernilai RM76,000.
Katanya, kesemua dagangan tersebut ditahan pihak Maqis untuk tindakan selanjutnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 ( Akta 728).
"Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau keduanya sekali," katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Ikram berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemeriksaan terhadap produk pertanian di setiap pintu masuk negara.
Ia bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar, serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan.
#maqis #ekor lembu sejuk beku #Pelabuhan Pangkalan Kontena Utara Butterworth #ekor lembu dari Brazil
;