12 tong bahan kimia ditemui terjatuh di tepi jalan di Ipoh

Abd Razak Mohd Ali
April 13, 2022 15:52 MYT
12 tong bahan kimia ditemui terjatuh di tepi jalan di Ipoh sedang diuruskan oleh pasukan HAZMAT dan tindakan lanjut diambil oleh pihak JAS Perak. - JBPM & JAS
IPOH: Sebanyak 12 tong yang mengandungi bahan kimia ditemui bertaburan di tepi jalan di Jalan Tun Abdul Razak (Jalan Maxwell), di sini, hari ini.
Empat daripada tong tersebut didapati bocor menyebabkan berlaku tumpahan ke atas jalan raya.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 9.50 pagi.
Katanya, bahan-bahan yang terkandung di dalam tong berwarna biru itu ialah Bio Tergas AS 40, T-Gum AHG, Royol Process 250T dan Octowet 70D.
Menurutnya, empat tong yang berlaku tumpahan ialah masing-masing dua tong T-Gum dan Octowet 70D.
“Pihak HAZMAT (Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya) berjaya meneutralkan bahan tersebut dengan air serta memindahkannya ke dalam tong berasingan.
“Anggota HAZMAT memakai pakaian khas serta membuat penjarakan yang selamat kepada orang awam di lokasi bagi memudahkan operasi pengasingan.
“Kerja-kerja ‘flushing’ dilakukan untuk menghilangkan kesan-kesan bahan yang tumpah,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut jurucakap itu lagi, tong-tong berkenaan kemudiannya diserahkan kepada pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk tindakan selanjutnya
Sementara itu, Pengarah JAS Perak, Rosli Zul ketika dihubungi berkata, tong tersebut dipercayai terjatuh dari lori sebuah kilang di Tasek.
Menurutnya, pihak pemilik telah hadir ke lokasi dan pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut, termasuk bagaimana tong-tong tersebut boleh terjatuh.
#tong bahan kimia #JBPM #Hazmat #Ipoh
;