12 termasuk tujuh 'superman' ditahan polis trafik
Astro Awani
Julai 29, 2018 11:11 MYT
Julai 29, 2018 11:11 MYT
Kelincahan tujuh samseng jalanan yang membuat aksi 'superman' sambil berlumba terbantut selepas anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur berjaya memberkas mereka awal pagi ini.
Lagak ngeri dan membahayakan itu dilakukan mat rempit tersebut di Lebuhraya Duta Ulu Kelang (DUKE) di ibu negara.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Superintendan Sarifudin Mohd Salleh berkata, operasi bermula jam 1 pagi itu turut dilancarkan dengan melakukan sekatan jalan di Dataran Merdeka dan Jalan Raja Laut.
Katanya, hasil tiga jam operasi, sejumlah 275 buah motosikal dan 180 kenderaan diperiksa dengan 186 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
"Sepanjang operasi kita menahan tujuh samseng jalanan dan empat pemandu mabuk atas kesalahan memandu secara berbahaya di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala seorang ditahan mengikut Seksyen 104 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tambah Sarifudin, dalam operasi itu 49 buah kenderaan termasuk empat buah motosikal disita atas pelbagai kesalahan.
Katanya, dengan kekuatan enam pegawai dan 65 anggota, objektif operasi ini tertumpu kepada mencegah samseng jalanan di pusat bandar.
#Akta Pengangkutan Jalan
#Dataran Merdeka
#Jalan Raja Laut
#Kuala Lumpur
#Lebuh Raya Duke
#mat rempit
#Pusat bandar
#samseng jalanan
#Superintendan Sarifudin Mohd Salleh
#superman
#Tahan
#trafik