12 tab mandi di Kolam Air Panas Selayang diroboh
Sinar Harian
November 21, 2019 07:08 MYT
November 21, 2019 07:08 MYT
Tab mandi yang dibina di Kolam Air Panas Selayang dirobohkan atas faktor keselamatan pengunjung kerana tidak mengikut spesifikasi. -Foto MPS
Pihak yang membangunkan tempat mandi di Kolam Air Panas Selayang di sini berputih mata selepas struktur dibina tanpa kebenaran itu dibersihkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada Khamis.
Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata pengusaha dikesan menceroboh dan membuat 12 tab mandi dengan kemasan lantai tanpa kebenaran.
"Aktiviti itu terbongkar hasil aduan awam dan Ahli Majlis MPS selepas pembinaan dilakukan dalam kawasan di bawah pentadbiran MPS dibuat tanpa sebarang permohonan.
"MPS bimbang binaan haram ini boleh mendatangkan bahaya kepada pengunjung disebabkan spesifikasi binaan yang tidak mempunyai sebarang kelulusan," katanya.
Menurutnya, MPS memberikan amaran kepada pemilik yang membina struktur atau binaan atas tanah kerajaan yang menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 46 (1) A Akta Jalan, Parit dan Bangunan.
#Ahli Majlis MPS
#hasil aduan awam
#Kolam Air Panas Selayang
#Majlis Perbandaran Selayang
#Mohamad Zin Masoad
#MPS