12 premis judi di Ampang Jaya dipotong bekalan elektrik

Umavathi Ramayah
Januari 24, 2021 18:13 MYT
Sejak tahun lalu, sebanyak lebih 30 premis dikenakan tindakan pemotongan elektrik kerana menjalankan aktiviti judi dalam talian. - Foto TNB
AMPANG JAYA : Sebanyak 12 premis yang disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian di Ampang Jaya dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, tindakan pemotongan elektrik itu diambil bagi mengekang aktiviti perjudian di kawasan berkenaan.
"Operasi bersepadu itu dilakukan oleh 30 anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dengan kerjasama TNB bermula kira-kira pukul 10 pagi ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mohamad Farouk berkata, tindakan pemotongan elektrik oleh kakitangan TNB itu mengikut Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 38 (1A) Electricity Supply (Amendment) Act 2001.
Tambah beliau, sejak tahun lalu, sebanyak lebih 30 premis dikenakan tindakan pemotongan elektrik kerana menjalankan aktiviti judi dalam talian.
Ekoran itu beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti perjuduan secara dalam talian supaya menghubungi balai polis terdekat dengan segera.
#judi dalam talian #IPD Ampang Jaya #pemotongan elektrik #Tenaga Nasional Berhad #jenayah #komersial
;