12 pendatang ditemui dalam sebuah kereta
Bernama
Januari 23, 2013 18:29 MYT
Januari 23, 2013 18:29 MYT
Sebanyak 12 pendatang asing warga Myanmar ditemui berhimpit-himpit di dalam sebuah kereta ketika Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan yang mencurigakan itu di Kuala Perlis awal hari ini.
Komander UPP Perlis, DSP Zakaria Abdul Rahman berkata, mereka ditahan pukul 1.30 pagi oleh pasukan UPP kawasan Kuala Perlis yang diketuai Inspektor Azizan Saman selepas menahan kenderaan yang sarat muatan manusia itu.
Menurutnya, berdasarkan maklumat, UPP telah melakukan pemantauan di persimpangan Kampung Wai dan menemui sebuah kereta Proton Saga Aeroback yang memecut laju selepas diarah berhenti.
Akhirnya kenderaan yang sarat muatan warga Myanmar itu dapat ditahan berhampiran Taman Peladang, Kuala Perlis tidak jauh dari tempat ia dikesan dan peperiksaan mendapati terdapat 12 lelaki warga Myanmar dalam keadaan berhimpit-himpit di dalamnya.
Kesemua lelaki warga asing itu bersama seorang lelaki rakyat tempatan berusia 22 tahun yang memandu kenderaan itu ditahan dan dibawa ke pangkalan UPP Kuala Perlis untuk siasatan lanjut.
Siasatan awal mendapati kesemua pendatang itu akan dibawa ke satu lokasi di Pulau Pinang dan lelaki tempatan itu menerima upah sebanyak RM150 untuk satu perjalanan.
Zakaria berkata, selepas tangkapan itu, UPP kawasan Kuala Perlis yang menerima satu lagi maklumat telah menahan sebelas lelaki warga Myanmar di sebuah bukit di Kampung Wai berhampiran sempadan Malaysia-Thailand kira-kira pukul 4 pagi tadi.
Kesemua lelaki itu berjalan kaki di atas bukit berkenaan dan mereka ditahan dan dibawa ke pengkalan UPP Kuala Perlis untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, kesemua 23 pendatang asing warga Myanmar yang ditahan dalam dua kes itu berumur antara lapan dan 25 tahun.
Siasatan awal mendapati mereka meninggalkan Myanmar pada 4 Januari lalu dan menempuh pelbagai halangan sebelum tiba di negara ini dan ditahan.