12 PATI ditahan dalam Ops Bersepadu di Pulau Perhentian
Sinar Harian
Jun 18, 2021 10:43 MYT
Jun 18, 2021 10:43 MYT
BESUT: Seramai 50 pekerja asing diperiksa dan 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Ops Bersepadu yang dijalankan di Pulau Perhentian, pada Rabu.
Pengarah Imigresen Negeri, Ungku Joha Ungku Mohamad berkata, 50 pekerja asing dan 12 PATI yang ditahan itu melibatkan dua majikan.
Katanya, 12 PATI yang ditahan merupakan warganegara Pakistan (dua), Bangladesh (sembilan) dan seorang warga Nepal.
"Enam pekerja warga asing ditahan di sebuah tapak pembinaan bangunan tambahan di Pulau Perhentian Besar setelah didapati melanggar Peraturan-Peraturan Imigresen (02) Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki permit yang sah.
"Seorang lelaki warga Pakistan dan seorang warga Nepal ditahan di sebuah bilik penginapan kerana melakukan kesalahan dibawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen kerana memasuki negara ini tanpa dokumen dan permit kerja sah.
"Tiga lagi warga Bangladesh ditahan di sebuah pusat menyelam melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen kerana tiada permit sah dan melanggar syarat pas dan permit," katanya kepada Sinar Harian, pada Jumaat.
Menurut Ungku Joha, operasi itu disertai seramai 38 anggota terdiri daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Taman Laut Malaysia (TLM).
Dalam pada itu, katanya, usaha memberkas PATI terpaksa melalui kawasan hutan berbukit dan kawasan berbatu kira-kira 500 meter dari lokasi sasaran.
"Lokasi target melibatkan kawasan tepi pantai, pihak penguat kuasa terpaksa melalui laluan hutan sejauh dua kilometer (km)," katanya.
Artikel Penuh : 12 PATI ditahan dalam Ops Bersepadu di Pulau Perhentian
#pati
#pendatang asing
#Imigresen
#warga asing
#pekerja asing
#Akta Imigresen
#Pulau Perhentian
#Pakistan
#Bangladesh
#Nepal