12 pangkalan hadapan stok barang keperluan, persiapan hadapi banjir di Bera

Azee Shafy
Oktober 29, 2022 01:20 MYT
Norolazali melihat stok makanan yang tiba di stor pangkalan hadapan di Kompleks Rakan Muda, di Bera, pada Jumaat. - Foto Astro AWANI
BERA: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Bera mengagihkan stok makanan dan barang keperluan ke 12 pangkalan hadapan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir pada musim tengkujuh, di daerah ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman berkata, agihan itu berdasarkan bilangan dan keluarga mangsa banjir yang terjejas pada penghujung tahun lepas dan awal tahun ini.
"Berdasarkan jumlah mangsa banjir sebelum ini, seramai lebih 4,700 mangsa banjir membabitkan 403 keluarga yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
"Dan agihan stok makanan termasuk barang keperluan ini diagihkan berdasarkan jumlah ini.
"Tetapi, kita ada stor utama pangkalan hadapan yang bertempat di Kompleks Rakan Muda yang dijadikan pusat meletakkan stok makanan dan barang keperluan, sebagai alternatif sekiranya bilangan mangsa banjir bertambah berbanding sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas selesai Program Misi Penghantaran Bekalan Keperluan Bencana Monsun Timur Laut 2021/2022 Daerah Bera, di Kampung Batu Bor, semalam.
Katanya, sebanyak 12 pangkalan hadapan itu akan bertindak sebagai tempat penyimpanan barangan untuk 42 pusat pemindahan sementara (PPS) di Bera termasuk pangkalan hadapan yang kerap terputus hubungan seperti di Maahad Tahfiz Safa Marwah di Kampung Durian Tawar, di sini.
Pada masa sama, Norolazali memberitahu, paras air di ketiga-tiga sungai utama dalam daerah Bera ini masih lagi pada paras normal, dan jauh dari paras yang boleh menyebabkan banjir besar.
"Buat masa ini, sebahagian besar bacaan di sungai-sungai terbabit masih pada paras biasa. Ini termasuk Sungai Triang yang juga menunjukkan trend menurun.
"Bagaimanapun, orang ramai juga diminta bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir dan sedia untuk berpindah sekiranya diarahkan berbuat demikian," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman turut membantu memasukkan stok makanan ke dalam stor di pangkalan hadapan di Masjid Mengkarak, di Bera.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman melihat stok makanan yang tiba di stor pangkalan hadapan di Kompleks Rakan Muda, di Bera, pada Jumaat.
Norolazali Sulaiman meninjau stor di Kompleks Rakan Muda pada Program Misi Penghantaran Bekalan Keperluan Bencana Monsun Timur Laut 2021/2022 Daerah Bera, pada Jumaat.
#pangkalan hadapan #banjir Bera #simpanan makanan #Norolazali Sulaiman