12 orang sahaja tunai solat Jumaat di Perlis

Adie Sufian Zulkefli
Mei 15, 2020 14:51 MYT
Solat Jumaat di Masjid Negeri Arau yang diadakan hari ini disertai oleh 12 jemaah sahaja. - Gambar Astro AWANI
Selepas lebih dua bulan tidak dibenarkan masjid-masjid di seluruh negara mengadakan solat Jumaat ekoran penularan pandemik COVID-19, umat Islam di Perlis hari ini berpeluang berbuat demikian.
Bagaimanapun, hanya 12 orang sahaja termasuk imam dan khatib yang dibenarkan menunaikan solat pada Jumaat pertama selepas Masjid Negeri Arau ini ditutup bermula 13 Mac lalu.
Menurut Imam Besar Negeri Perlis, Ahmad Sirajuddin Abdul Satar, 42, pihak Ahli Jawatankuasa Masjid bersama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Negeri Perlis (MAIPS) telah melakukan persiapan awal selepas diputuskan Yang DiPertua MAIPs, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada Sabtu lalu untuk solat Jumaat dilaksanakan.
Jelasnya, persiapan temasuk menyediakan buku pendaftara, alat imbasan suhu dan cecair pembasmi kuman turut disediakan di pintu masuk masjid sebagai memenuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.
Katanya, setiap jemaah juga diwajibkan memakai penutup mulut dan hidung ketika menunaikan solat.

Ahmad Sirajuddin berkata, khutbah dan solat dilakukan tidak melebihi tempoh 15 minit mengikut SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Solat Jumaat pada hari ini diimamkan oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin selain beliau sendiri bertindak selaku khatib membacakan khutbah.

Pada Khamis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, hanya masjid dan surau terpilih dalam zon hjau COVID-19 dibenarkan mengadakan solat Jumaat dan solat berjemaah secara berperingkat mulai hari ini dengan bilangan jemaah minimum tiga orang tidak termasuk imam dan tidak melebihi 30 orang.

#COVID19 #Dr Mohd Asri Zainul Abidin #Majlis Keselamatan Negara #Masjid Negeri Arau #Mufti Perlis #Perlis #Solat Jumaat
;