12 orang hilang di Pulau Aur ditemui selamat - APMM

Bernama
Mei 21, 2016 22:34 MYT
Bot nelayan yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Aur semalam berjaya dikesan oleh aset udara APMM Wilayah Selatan pada kedudukan kira-kira 25 batu nautika Timur Laut Tanjung Sedili petang tadi. - Foto Bernama
Bot nelayan yang membawa 12 orang termasuk 10 kaki pancing yang hilang di persekitaran Pulau Aur, Mersing sejak Selasa, ditemui selamat hari ini.
Bot itu dikesan pada 6.15 petang tadi oleh aset udara Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan 25 batu nautika Timur Laut, Tanjung Sedili, dekat Kota Tinggi.
"Semua mangsa selamat," kata Timbalan Pengarah (Operasi) Wilayah Selatan APMM Kapten Maritim Saiful Lizan Ibrahim dalam kenyataan di sini, hari Sabtu.
Beliau berkata APMM telah mengerakkan aset lautnya ke lokasi bagi menyelamat dan menunda bot itu ke jeti Tanjung Sedili.
Kawasan mencari dan menyelamat mangsa dari Pulau Aur, Mersing sehingga Tanjung Sedili, Kota Tinggi melibatkan 60 anggota dari pelbagai agensi, katanya.
Bot nelayan itu, yang membawa seorang tekong, seorang awak-awak dan 10 kaki pancing, bertolak dari jeti Tanjung Sedili pada Selasa dan sepatutnya pulang pada Khamis.
Bagaimanapun, kedudukan terakhir bot itu dikesan di perairan Pulau Aur, Mersing, kira-kira empat batu nautika dari Pulau Jemaja, Indonesia, kata Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman.
Menurutnya laporan kehilangan mereka dibuat oleh isteri tekong yang juga pemilik bot itu pada 6.30 petang semalam setelah gagal menghubungi suaminya.
Sebahagian daripada mangsa dikenali sebagai Roslan Husin, 34 (tekong), pemancing - Mohd Firdaus Jalil (tidak diketahui umur), Mansor Ibrahim, 63, Syaril Mohamad, 33, Muhamad Arham Salim, 24, Emran Firdaus Mohd Said, 30, Abd Rashid Saian, 44, Mohd Zaini Mohd Dekan, 50, dan Tan Seng Foo, 55.
#APMM #bot nelayan #kaki pancing #pemancing hilang ditemui #Pulau Aur
;