12 motosikal dirempuh di bawah jambatan

Bernama
April 21, 2018 18:07 MYT
Situasi kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan berdekatan susur keluar Port Dickson pada jam 2 petang tadi. - BERNAMA
Sekumpulan penunggang dan pembonceng motosikal berdepan detik cemas apabila motosikal yang diletakkan di bawah jambatan ketika berteduh daripada hujan dirempuh dua kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke utara.
Dalam kejadian 2 petang di KM258, berhampiran susur keluar Port Dickson itu, 12 motosikal mengalami kerosakan teruk selepas terperosok di bawah sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan sebuah Perodua Axia.
Ketua Polis Daerah Seremban, ASP Thiew Hock Poh, dalam kenyataan di sini berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku berpunca daripada kenderaan Perodua Axia yang dipandu seorang wanita berusia 23 tahun yang hilang kawalan.
"Semasa ingin menukar laluan dari lorong tengah ke lorong kanan, kereta itu telah melanggar lopak air dan mula hilang kawalan sebelum melanggar penghadang jalan sebelah kanan. Ini menyebabkan kenderaan itu berada dalam keadaan melintang di tengah jalan antara lorong tengah dan kanan.
"Sebuah kenderaan jenis Volkswagen yang datang dari arah sama, bagaimanapun tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kiri Perodua Axia dan menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabas ke lorong paling kiri serta merempuh 12 motosikal yang sedang berhenti berteduh di lorong kecemasan di bawah jambatan," katanya.
Ekoran itu, Thiew berkata seorang wanita yang juga pembonceng motosikal mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk menerima rawatan.
Sementara itu, menurut saksi kemalangan tersebut berlaku dengan amat pantas serta semua penunggang dan pembonceng motosikal terlibat sangat bernasib baik kerana berteduh jauh di belakang pembahagi jalan. -- Bernama
#kemalangan #lebuhraya #motosikal #plus highway #Seremban
;