12 kertas siasatan terhadap GISB di Negeri Sembilan dibuka - Aminuddin

Bernama
November 25, 2024 17:31 MYT
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun semasa sesi soal jawab lisan pada Persidangan Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Ke-15, hari ini. - Foto BERNAMA
SEREMBAN: Sebanyak tujuh daripada 12 kertas siasatan berhubung syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) di Negeri Sembilan telah didakwa di mahkamah, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Ringkasan AI
  • Pendakwaan dan Siasatan: Tujuh daripada 12 kertas siasatan terhadap GISB Holdings Sdn Bhd di Negeri Sembilan telah didakwa di mahkamah, sementara lima lagi masih menunggu arahan lanjut.
  • Penutupan Madrasah: Dua madrasah di Ulu Beting dan Kampung Senama telah ditutup oleh JHEAINS kerana terlibat dengan ajaran salah, dan pihak pengurusan madrasah tersebut telah didakwa.
  • Program Pemulihan Akidah: Program pemulihan akidah secara sukarela telah dilaksanakan untuk ahli GISBH, dengan penyelarasan oleh MKN menggunakan modul JAKIM dan JHEAINS.

Aminuddin berkata lima lagi kertas siasatan dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara, dan pihak berkuasa akan terus memantau serta mengambil tindakan kesalahan pelanggaran undang-undang dilakukan GISB dan syarikat berkaitan.
"Kerajaan negeri menerusi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) telah mengambil tindakan penutupan terhadap dua madrasah di Ulu Beting, Kuala Pilah dan Kampung Senama, Rembau yang dipercayai terlibat dengan ajaran salah.
"Hasil pemeriksaan dilakukan, kita telah mengambil tindakan penutupan di bawah Seksyen 25C Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Sembilan 1996 terhadap madrasah terbabit, pengerusi, mudir dan timbalan mudir madrasah telah didakwa pada bulan ini," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat itu berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Bakri Sawir (PH-Klawang) berhubung tindakan diambil oleh kerajaan negeri berkaitan GISB, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Agama Islam dan Keselamatan negeri itu berkata program pemulihan akidah atau rehabilitasi telah dilaksanakan secara sukarela kepada ahli GISBH yang ingin menyertai program itu bermula 15 Okt lepas.
Aminuddin berkata penyelaras program berkenaan dilaksanakan oleh Majlis Keselamatan Negeri, Negeri Sembilan (MKN) mengunakan modul disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan JHEAINS yang bertanggungjawab sebagai urus setia pendaftaran bagi membantu memulihkan golongan terbabit.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Mufti Negeri Sembilan telah membawa isu GISB dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa pada 27 hingga 29 Sept lepas serta memutuskan bahawa ajaran GISB sama dengan ajaran al-Arqam dan Rufaqa' mengenai Aurad Muhammadiah yang telah diharamkan.
"Muzakarah juga menegaskan bahawa ajaran al-Arqam yang diwartakan pada 2016 boleh dijadikan asas kepada penguatkuasaan terhadap sebarang usaha untuk menghidupkan kembali ajaran al-Arqam atau seumpamanya walaupun atas nama yang berlainan," katanya.
-- BERNAMA
#GISB #Negeri Sembilan #Aminuddin Harun #kertas siasatan
;