Dua belas kawasan di pantai barat Semenanjung Malaysia merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat melebihi 100 setakat 9 pagi ini.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), situasi itu berlaku di dua kawasan di Kedah iaitu Alor Setar dengan bacaan 118 dan Bakar Arang (Sungai Petani) 105.

Selain itu, bacaan IPU tidak sihat turut direkodkan di Negeri Sembilan iaitu Nilai (105); Perak merangkumi Kampung Air Putih, Taiping (104), SK Jalan Pegoh, Ipoh (104) dan Seri Manjung (105); Kangar, Perlis (106); dan Seberang Jaya 2, Perai di Pulau Pinang (101).

Situasi sama turut dikesan di Selangor meliputi Banting (102), Pelabuhan Klang (109), Shah Alam (108) dan Batu Muda, Kuala Lumpur (113).

GALERI FOTO: JEREBU KEMBALI MELANDA NEGARA


Kawasan lain di seluruh negara mencatat bacaan IPU baik dan sederhana. IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.