12 individu langgar SOP berkumpul untuk solat berjemaah

Bernama
Jun 18, 2021 05:47 MYT
Enam lelaki warga tempatan dikenakan kompaun RM1,500 setiap seorang manakala pemilik premis dikenakan kompaun RM10,000. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seramai 12 lelaki termasuk enam warga asing melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setelah didapati berkumpul untuk melakukan solat secara berjemaah di sebuah premis rumah kedai di Taman Nirwana Ampang, dekat sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Esha berkata kesemua mereka termasuk pemilik premis yang berusia antara 23 hingga 60 tahun itu dikesan berkumpul semasa pemeriksaan dijalankan pada pukul 1.30 tengah hari.
Beliau berkata enam lelaki warga tempatan itu dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 setiap seorang manakala pemilik premis itu dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 mengikut Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempat-Tempat Jangkitan) (No 3) 2021.
"Siasatan awal mendapati premis itu merupakan pejabat bagi syarikat pembersihan, kawalan keselamatan dan urusan kargo tiga syarikat berlainan milik warga tempatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara, enam warga asing yang juga pekerja di syarikat itu, mempunyai dokumen pengenalan diri telah ditahan untuk siasatan lanjut.
-- BERNAMA
#langgar SOP #berkumpul #solat berjemaah #Taman Nirwana Ampang #PKP #SOP #solat #rumah kedai #warga asing #syarikat pembersihan #Syarikat kawalan Keselamatan #kargo #warga tempatan #kompaun #Mohamad Farouk Esha #Ampang Jaya #Pekerja
;