12,870 individu disaring di PKPD Amanjaya, hanya satu kes positif setakat ini - KKM

Faris Danial Razi
September 2, 2020 11:25 MYT
Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah itu, satu kes dikesan positif COVID-19, 12,687 individu adalah negatif dan 182 individu masih menunggu keputusan. - Gambar fail BERNAMA
Seramai 12,870 orang telah disaring di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran.
Ia melibatkan kawasan dari tiga zon yang terbabit iaitu Zon Kenanga, Zon Mawar dan Zon Melur di Amanjaya, Kedah.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah itu, satu kes dikesan positif COVID-19, 12,687 individu adalah negatif dan 182 individu masih menunggu keputusan.
Namun begitu tambahnya, dianggarkan seramai 9,490 orang masih belum menjalani saringan.
“Meskipun jumlah anggaran ini masih dalam semakan, namun pihak KKM menyeru dan merayu mereka yang belum menjalani saringan untuk segera tampil ke hadapan ke pusat-pusat saringan yang disediakan,” tambah Dr Noor Hisham.
Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan PKPD secara Pentadbiran di Amanjaya akan berkuatkuasa sehingga 10 September ini.
Jelasnya, keputusan tersebut dibuat ketika Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP pada Selasa lalu.
BACA: COVID-19: Kluster MV Glen catat satu lagi kes
BACA: COVID-19: Kembali satu digit selepas enam lagi kes direkodkan
#amanjaya #Dr Noor Hisham Abdullah #ismail sabri yaakob #kes positif #KKM #koronavirus #Noor Hisham Abdullah #Pelaksanaan PKP #perintah kawalan pergerakan #PKP #PKPD