12,827 rakyat Malaysia dari luar negara sedang jalani kuarantin wajib - Ismail Sabri

Astro Awani
Disember 12, 2020 17:50 MYT
Seramai 12,827 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 543 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR : Seramai 86,398 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak Julai lalu, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, semua mereka telah ditempatkan di 78 hotel dan 19 Institut Latihan Awam (ILA) di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, seramai 12,827 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 543 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan harian terhadap 11 jenis bekalan barangan di 689 premis perniagaan.
“Ia termasuk peruncit (518), pemborong (143) dan pengilang (28). Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.
“Pegawai penguatkuasa KPDNHEP juga telah melakukan 525 pemeriksaan khas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan semua premis diperiksa mematuhi SOP ditetapkan.
“Dalam tempoh PKPP ini, kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan fizikal dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian,” ujarnya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sudah melakukan pemeriksaan terhadap 7,965 tapak binaan di seluruh negara sehingga 11 Disember.
“Semalam, anggota penguat kuasa telah membuat pemeriksaan di 11 tapak binaan di seluruh Malaysia dan kesemua tapak binaan yang diperiksa mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” katanya.
#kuarantin #luar negara #Ismail Sabri #ismail sabri yaakob #SOP #kerajaan #rakyat #menteri #operasi #PKPP #perintah kawalan pergerakan #PKPB #pemeriksaan
;