12,500 orang sertai ijtimak tabligh, hanya 500 belum disaring

Bernama
Mac 22, 2020 10:34 MYT
Notis penutupan sementara ditampal di Masjid Sri Petaling untuk kerja-kerja disinfeksi ketika tinjauan 13 Mac lalu. --fotoBERNAMA/Fail
Di sebalik angka 16,000 yang banyak disebut, data rasmi Masjid Seri Petaling menunjukkan lebih kurang 12,500 orang termasuk 1,600 tetamu luar negara menghadiri ijtimak tabligh di Masjid Seri Petaling dari 28 Feb hingga 2 Mac.
Ahli Mesyuarat Markaz Dakwah Tabligh Malaysia Abdullah Cheong dalam satu kenyataan hari ini berkata bermakna kehadiran peserta tempatan adalah sekitar 11,000 orang.
Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan (KKM) setakat 19 Mac sekitar 10,500 peserta ijtimak sudah pun disaring, bermakna hanya sekitar 500 peserta tempatan yang belum disaring bagi membendung penularan COVID-19, katanya.
Selain itu dalam kenyataan sama, beliau juga menolak dakwaan terdapatnya ribuan warga Rohingya yang telah menyertai ijtimak itu memandangkan rekod rasmi menunjukkan bilangan peserta Rohingya hanya sekitar 200 orang dan dari Myanmar pula 150 orang.
"Data rasmi Masjid Seri Petaling menunjukkan jumlah peserta yang bersolat Maghrib di masjid itu pada 29 Feb, termasuk tetamu luar negara dan mereka yang mempunyai tugas khidmat seperti menjaga trafik, memasak dan menjaga ruang parkir, adalah sekitar 12,500 orang.
"Kiraan sekitar 12,500 orang ini bukanlah jumlah yang baharu kami dapat, malah ini merupakan rekod dari Syukbah (bahagian) Pendataan untuk pendaftaran setiap kali berlangsungnya ijtimak yang dilakukan selama bertahun-tahun lamanya," katanya.
Abdullah turut menjelaskan Syukbah Pendataan dilakukan melalui data logik berdasarkan keluasan tempat ijtimak dan jumlah yang hadir memandangkan ijtimak seumpama itu sering dianjurkan.
"Sebagai contoh, sayap kanan masjid boleh memuatkan 1,700 orang (85 orang bagi setiap saf x 20 saf) manakala baki lima saf lagi dikhaskan untuk beg peserta ijtimak. Sementara di bahagian tetamu luar yang berlantai marmar, boleh memuatkan 840 orang (42 orang setiap saf x 20 saf).
"Jumlah kehadiran ijtimak, kami kira semasa solat didirikan berdasarkan kiraan kepala dalam setiap saf dan bukanlah anggaran semata-mata. Ini adalah bagi memudahkan pengurusan makanan dan tempat tinggal untuk semua peserta ijtimak," katanya.
Menurut Abdullah lagi, terdapat beberapa trend kehadiran dan jumlah peserta dalam saf sepanjang ijtimak berlangsung seperti jumlah peserta paling ramai dicatat pada setiap waktu Maghrib pada Sabtu malam serta waktu Maghrib dan Zohor memandangkan sebahagian besar jemaah mengamalkan solat jamak.
Mengenai saringan dan pemeriksaan kesihatan, Abdullah menjelaskan pihaknya menerima banyak laporan mengenai peserta ijtimak yang telah pergi ke pejabat kesihatan daerah ataupun hospital berhampiran terutamanya pada beberapa hari pertama.
"Apabila mereka tidak menunjukkan sebarang gejala, mereka telah minta pulang ke rumah masing-masing dan dikuarantin selama 14 hari. Namun kami khuatir butiran mereka tidak direkod sebelum dihantar pulang.
"Jadi, apabila terdengar laporan yang mengatakan ribuan peserta ijtimak belum disaring, ramai antara mereka telah pergi berkali-kali ke pejabat kesihatan atau hospital sehingga nama dan butiran mereka direkodkan.
-- BERNAMA
#Abdullah Cheong #COVID-19 #Hospital #ijtimak tabligh #Kementerian Kesihatan #koronavirus #Markaz Dakwah Tabligh Malaysia #Masjid Sri Petaling #Myanmar #pejabat kesihatan #penularan #perhimpunan #Rohingya #saringan #tabligh #wabak
;