119 tempat teduh motosikal dibina di lebuh raya seluruh negara - Nanta

Bernama
Ogos 4, 2023 17:46 MYT
Menurut Nanta 40 daripada 119 tempat berteduh baharu itu dijangka siap tahun ini manakala selebihnya tahun depan dan ia adalah tambahan daripada 353 tempat berteduh sedia ada. - Gambar/ Bernama
PETALING JAYA: Sebanyak 119 tempat berteduh di lebuh raya seluruh negara akan dibina di bawah Inisiatif Bitara MADANI sebagai usaha memudahkan penunggang motosikal berteduh terutama ketika hujan, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata pembinaan kemudahan itu merupakan kerjasama antara Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan Lembaga Lebuh Raya (LLM) dan melibatkan 33 syarikat konsesi lebuh raya.
Menurut Nanta 40 daripada 119 tempat berteduh baharu itu dijangka siap tahun ini manakala selebihnya tahun depan dan ia adalah tambahan daripada 353 tempat berteduh sedia ada.
"Ini penting kerana kerap berlaku kemalangan membabitkan pengguna motosikal khususnya semasa hujan dan mereka selama ini hanya berteduh di lorong kecemasan dan ini amat berbahaya," katanya pada sidang media selepas melawat tempat berteduh pengguna motosikal di persimpangan Plaza Tol Kota Damansara, Lebuhraya Lembah Klang Baharu (NKVE) di sini hari ini.
Nanta berharap kerjasama KKR dengan LLM dan pihak syarikat lebuh raya berkaitan diteruskan dengan lebih lagi inisiatif baharu pada masa akan datang.
"Kita teruskan bukan sekadar untuk menyediakan kemudahan sebegini malah kita sentiasa mencari idea di mana kita boleh menyediakan kemudahan lain untuk keselesaan dan keselamatan pengguna motosikal lebuh raya.
"Ini kerana pengguna motosikal merupakan kumpulan paling vulnerable (berisiko tinggi mengalami kemalangan)," katanya.
Dalam pada itu, Nanta mengingatkan penunggang motosikal supaya berhati-hati semasa menggunakan lorong kecemasan kerana ia bukan laluan eksklusif untuk mereka, sebaliknya digunakan kenderaan lain yang berhenti atas faktor kecemasan.
"Oleh itu, berhati-hatilah terhadap sebarang halangan di lorong kecemasan, beri tumpuan dalam setiap perjalanan dan berehat di tempat berteduh yang telah disediakan sekiranya perlu," katanya.
-- BERNAMA
#Alexander Nanta Linggi #tempat teduh motosikal #lebuh raya #Kementerian Kerja Raya
;