118 majikan dikesan langgar perintah Gaji Minimum

Hasimi Muhamad
Julai 25, 2022 12:02 MYT
Saravanan berkata, kerajaan memutuskan tiada lagi penundaan diberi kepada mana-mana sektor ekonomi atau jenis pekerjaan dari segi pelaksanaan gaji minimum. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Setakat 30 Jun lalu, sekurang-kurangnya 118 majikan dikesan tidak mematuhi Perintah Gaji Minimum 2022, yang berkuat kuasa sejak 1 Mei lalu.
Ia dikenal pasti hasil pemeriksaan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) melibatkan 157 aduan terhadap majikan.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan bagaimanapun berkata, setakat tempoh yang dinyatakan, masih belum ada majikan yang didakwa kerana kesalahan tersebut.
"Statistik majikan yang telah mematuhi dan tidak mematuhi Perintah Gaji Minima 2022 masih tidak dapat disediakan berikutan kuat kuasanya perintah tersebut pada 1 Mei 2022 dan pematuhan hanya dapat dikenal pasti melalui pemeriksaan berkanun.
"Sehingga 30 Jun 2022 sebanyak 20,452 majikan telah diperiksa.
"Bagi bulan Jun 2022 sahaja sebanyak 3,049 tempat pekerjaan telah diperiksa diseluruh negara.
"Selain daripada itu, JTKSM juga akan menjalankan siasatan sekiranya aduan diterima dari pihak pekerja," katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Saravanan menjawab pertanyaan Datuk Seri Mujahid Yusuf Rawa (PH-Parit Buntar) dan Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah (PH-Lenggong) yang meminta beliau menyatakan berapa jumlah majikan yang didakwa tidak mematuhi Perintah Gaji Minimum 2022 itu.
Dalam jawapannya, Saravanan juga menjelaskan, penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,500 sebulan hanya terpakai kepada majikan yang menggajikan kurang lima orang pekerja.
Langkah itu, ujarnya, adalah bagi memberi peluang kepada majikan kategori tersebut membuat persediaan sewajarnya.
"Kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia telah memutuskan tiada lagi penundaan diberi kepada mana-mana sektor ekonomi atau jenis pekerjaan.
"Ini kerana, bantuan kepada majikan melalui pakej bantuan COVID-19 seperti Program Subsidi Upah telah berupaya mengekalkan perniagaan dan pekerjaan," katanya.
#Dewan Rakyat #Majikan langgar gaji minimum #pekerja Malaysia #M Saravanan
;