117 kes penipuan dalam talian libatkan kerugian RM2 juta di Kelantan - Polis

Bernama
April 5, 2022 23:00 MYT
Masyarakat diminta tidak mudah percaya dan mengikut arahan yang diberikan individu tidak dikenali selain tidak mendedahkan maklumat peribadi dan kewangan melalui telefon atau media sosial. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Lebih RM2 juta kerugian membabitkan 117 kes penipuan secara dalam talian dicatatkan di Kelantan dalam tempoh hanya dua bulan tahun ini, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan (JSJK) ACP Mohd Wazir Mohd Yusof.
Beliau berkata pada bulan Feb lepas sahaja 48 kes penipuan membabitkan kerugian RM853,411.67 telah dicatatkan, manakala pada Mac pula 69 kes dengan jumlah kerugian bernilai RM1,364,975.88 direkodkan.
Katanya antara modus operandi bagi kes penipuan ini adalah membabitkan Macau Scam sebanyak 41 kes, tipu e-dagang (37), tipu pelaburan dalam talian (15), pinjaman tidak wujud (17), dan juga love/parcel scam sebanyak tujuh kes.
"Masyarakat diminta agar tidak mudah percaya dan mengikut arahan yang diberikan oleh individu tidak dikenali selain tidak mendedahkan maklumat peribadi dan kewangan melalui telefon atau media sosial," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Kelantan, di sini semalam.
-- BERNAMA
#penipuan dalam talian #Macau Scam #Polis Kelantan #kerugian