114 penjaga premis, kaki judi dalam talian ditahan

Bernama
Ogos 3, 2018 06:18 MYT
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ahsmon Bajah (empat, kanan) menunjukkan antara barang rampasan kegiatan judi atas talian di daerah Kota Tinggi menerusi 38 serbuan sejak Januari hingga bulan lepas. - Foto BERNAMA
Polis menahan 114 individu kerana terlibat dengan kegiatan judi dalam talian di daerah Kota Tinggi menerusi 38 serbuan sejak Januari hingga bulan lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Ahsmon Bajah, berkata kesemua mereka melibatkan 59 penjaga premis dan 55 kaki judi itu ditahan menerusi 'Op Judi Online' yang dilancarkan ke atas premis menjual telefon bimbit dan tambah nilai, makanan dan minuman serta tempat persendirian.
"Hasil serbuan, polis merampas 138 tablet, 96 telefon bimbit serta satu komputer riba.
"Kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM38,800," katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Ahsmon berkata kesemua ditahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, dan jika sabit kesalahan boleh didenda antara RM10,000 dan RM100,000 bagi setiap mesin judi dan hukuman penjara maksimum lima tahun.
Beliau berkata pihaknya sentiasa bertindak atas maklumat dan aduan orang ramai berkaitan premis mesin perjudian berkomputer yang menimbulkan persepsi negatif masyarakat terhadap penguatkuasaan dijalankan pihak berkuasa.
"Bagi tempoh sama (Januari-Julai) tahun lepas, kita (polis) menahan 102 penjaga premis dan 82 pemain judi menerusi 28 serbuan sekitar Kota Tinggi.
"Kita merampas 52 telefon bimbit dan 69 tablet dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM41,500," katanya. -- Bernama
#akta rumah judi terbuka #judi #judi dalam talian #Judi Online #Kota Tinggi #online gambling #Op Judi Online #Telefon bimbit
;