111 kru, 172 juruterbang, 50 jurutera AirAsia diberhentikan
Najib Aroff
Jun 4, 2020 16:25 MYT
Jun 4, 2020 16:25 MYT
Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Berhad bakal menamatkan perkhidmatan 111 kru kabin daripada 1,900 kru, 172 juruterbang dan 50 jurutera dalam usaha pengecilan operasi.
Pengumuman pemberhentian itu difahamkan dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Riad Asmat dalam sesi taklimat bersama kakitangan syarikat berkenaan pada tengah hari ini.
Sumber Astro AWANI memaklumkan, kesemua yang akan terlibat dalam skim pemberhentian itu akan dimaklumkan menerusi e-mel dalam tempoh 24 jam.
AirAsia Berhad juga menjanjikan pampasan kepada semua yang terlibat.
Riad juga dipetik sebagai berkata, situasi yang dihadapi AirAsia Berhad kini adalah amat sukar dan semua langkah mengurangkan, memantau faktor dalaman dan luaran adalah tidak mencukupi.
Sumber Astro AWANI juga memaklumkan, Riad turut memohon maaf kepada kru AirAsia dan menegaskan, syarikat tiada pilihan lain yang boleh diambil buat masa ini selain melakukan penstrukturan semula organisasi.
Tambah sumber itu lagi, Riad pada masa sama tidak boleh memberikan jaminan tempoh syarikat itu akan kembali normal seperti sebelum ini.
Malah pemberhentian tenaga kerja itu tidak hanya dilaksanakan oleh AirAsia Berhad malah di semua bahagian di bawah Kumpulan AirAsia.
Dalam pada itu, sumber Astro AWANI memaklumkan, belum ada kepastikan sama ada akan berlaku pengurangan gaji kepada tenaga kerja yang tidak diberhentikan.
Dalam perkembangan berasingan, AirAsia X (AAX) turut mengumumkan pengurangan tenaga kerja melibatkan tenaga kerja Malaysia dan asing, namun jumlah sebenar tidak diumumkan di dalam sesi taklimat yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail.
Pemberhentian itu dijangka melibatkan tenaga kerja setiap sektor termasuk operasi, pengurusan, kru dan juruterbang.
Menurut sumber yang menyertai sesi berkenaan, AAX akan beroperasi menggunakan sekitar 15 ke 16 pesawat apabila sektor antarabangsa dibuka semula.
Ia berbanding 32 pesawat yang dimilik AAX pada ketika ini.
Sesi tersebut turut menjelaskan bayaran bonus dan insentif akan dimansuhkan namun bayaran gaji pokok akan dikekalkan termasuk elaun penerbangan,sektor dan bermalam.
#AirAsia
#diberhentikan
#jurutera
#Juruterbang
#kru
#pengecilan operasi
#penstrukturan semula organisasi