11 tahun insiden Mavi Marmara: Mapim gesa Israel diberi tekanan, sekatan ekonomi

Astro Awani
Mei 31, 2021 13:30 MYT
Mohd Azmi menjelaskan pihaknya mengecam sekatan berterusan ke atas Gaza yang tidak sah oleh undang-undang antarabangsa. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Hari ini sebelas tahun yang lalu, kapal Mavi Marmara yang sedang dalam pelayaran membawa misi kemanusiaan ke Gaza diserang dan diceroboh tentera rejim zionis Israel.
Dalam insiden awal pagi itu, tentera Israel menceroboh dan menyerang Flotila Pembebasan Gaza di tengah-tengah perairan antarabangsa di laut Mediterranean.
Sebagai mengenang insiden 11 tahun lalu, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa masyarakat dunia agar memberi tekanan dan sekatan ekonomi kepada Israel sehingga Gaza dibebaskan sepenuhnya.
Dalam satu kenyataan, Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid menjelaskan tindakan itu perlu dilakukan bagi memastikan agar segala bentuk serangan dan sekatan yang dikenakan terhadap Gaza dihentikan segera.
BACA: Kronologi tragedi Mavi Marmara
BACA: Israel minta maaf sambil pejam mata
Mohd Azmi menjelaskan pihaknya mengecam sekatan berterusan ke atas Gaza yang tidak sah oleh undang-undang antarabangsa.
"Sejak serangan Mavi Marmara dan penahanan sembilan aktivis oleh tentera laut laut pada 31 Mei 2010, Gaza masih berada di bawah sekatan yang tidak berperikemanusiaan.
"Tidak ada sebarang keizinan diberikan keatas sebarang tindakan yang dilakukan Israel hingga menjadikan Gaza umpama penjara terbuka terbesar di dunia.
"Flottila membebaskan Gaza diatur dengan satu tujuan iaitu memecahkan pengepungan," katanya.
Beliau menjelaskan, sejak dikenakan sekatan Gaza benar-benar terputus dari dunia luar sementara siri serangan udara oleh Zionis Israel telah menghancurkan Gaza.
"Mavi Marmara adalah usaha masyarakat sivil antarabangsa untuk mencabar sekatan itu.
"Sekatan udara, laut dan darat di Gaza adalah haram dan badan bukan kerajaan antarabangsa meletakkan harapan negara kuasa besar untuk melakukan segala usaha substantif bagi mengakhiri pengepungan itu," katanya lagi.
Flotila anjuran Gerakan Bebaskan Gaza dan Yayasan Hak Asasi, Pembebasan dan Bantuan Kemanusiaan Turki (IHH) membawa bantuan kemanusiaan dan bahan binaan bagi memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza.
Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail dan bekas jurukamera Samsul Kamal Abdul Latip ialah antara yang ditahan ketika mengikuti misi flotila dengan menaiki kapal Mavi Marmara 11 tahun lalu.
#Mavi Marmara #flotilla #Gaza #bantuan #kemanusiaan #Ashwad Ismail #Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia #MAPIM #Mohd Azmi Abdul Hamid #Zionis #Israel
;