11 rumah di Teluk Kemang terjejas banjir, satu PPS dibuka

Sinar Harian
Mac 6, 2025 15:41 MYT
Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson menasihati orang ramai untuk terus berwaspada dalam menghadapi situasi banjir memandangkan hujan masih berterusan. -Sinar Harian
PORT DICKSON: Sebanyak 11 rumah di Teluk Kemang terjejas banjir dengan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Sawah Sunggala di sini dibuka pada Khamis.

Ringkasan AI
  • Sebanyak 11 rumah di Teluk Kemang terjejas banjir, dan sebuah pusat pemindahan sementara telah dibuka di Kampung Sawah Sunggala.
  • Kawasan Pasir Panjang turut terjejas, dan polis telah memantau serta membantu penghuni berpindah ke tempat selamat.
  • Orang ramai dinasihatkan untuk terus berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa, serta boleh menghubungi Pusat Bilik Gerakan IPD Port Dickson untuk bantuan.

Berdasarkan maklumat yang dikongsikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, selain Teluk Kemang kawasan Pasir Panjang turut terjejas.
Katanya, pemantauan polis telah dilaksanakan bagi memantau kawasan dan mendapati beberapa kediaman dinaiki air selain terdapat juga penghuni telah berpindah ke tempat yang selamat.
"Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson menasihati orang ramai untuk terus berwaspada dalam menghadapi situasi banjir memandangkan hujan masih berterusan.
"Sila patuhi kepada arahan dan nasihat dari pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku," katanya pada Khamis.
Dalam perkongsian sama, orang ramai boleh menghubungi Pusat Bilik Gerakan IPD Port Dickson di talian 06-6462999 atau menghubungi mana-mana balai yang berdekatan untuk mendapatkan bantuan akibat banjir.
Dalam pada itu Sinar Harian sedang mendapatkan maklumat lanjut mengenai situasi banjir daripada Pengurusan Bencana Daerah Port Dickson. -Sinar Harian
#banjir #Port Dickson #Teluk Kemang #pusat pemindahan #Kampung Sawah Sunggala
;